KUALA LUMPUR: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) akan melancarkan operasi pemutihan, Ops Kesan, selama sebulan bermula 1 Mac ini untuk memastikan semua majikan mendaftarkan pekerja masing-masing dengan agensi itu.

Ketua Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed, berkata dalam tempoh sebulan operasi itu, pihaknya akan hanya mendaftar pekerja dan tiada tindakan undang-undang akan dikenakan.

Bagaimanapun, beliau berkata, bermula 1 April ini, PERKESO akan melancarkan operasi sama untuk mengesan majikan yang gagal mendaftarkan pekerja mereka dan ketika itu tindakan undang-undang akan diambil.

Katanya, majikan yang tidak mendaftar pekerja asing atau tempatan mereka dengan PERKESO boleh dikenakan kompaun maksimum RM5,000 bagi setiap pekerja.

Bagi pekerja asing pula, mereka perlu didaftarkan mengikut Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017.

“Kali ini lebih 500 pegawai PERKESO akan membuat operasi besar-besaran bagi mengesan majikan yang layak tetapi belum mendaftar menerusi lawatan ‘pintu ke pintu’ di kawasan terbabit, termasuk di luar bandar,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Sehingga 31 Disember lalu, sebanyak 613,860 majikan aktif berdaftar dengan PERKESO mengikut Akta PERKESO 1969 membabitkan 7.17 juta pekerja yang dilindungi.

Beliau berkata kebanyakan pekerja yang tidak berdaftar dengan PERKESO adalah mereka yang bekerja dengan syarikat perniagaan kecil berstatus kontrak seperti kantin sekolah dan pembersihan.

Katanya, peniaga dalam talian tidak perlu mendaftar manakala pekerja sendiri seperti pemandu teksi, e-hailing dan pemandu bas wajib mendaftar.

 

©