KOTA KINABALU: Kementerian Sumber Manusia akan berbincang dengan Kerajaan Negeri Sabah tentang keperluan mewujudkan Majlis Penasihat Buruh Sabah (SLAC) dalam masa terdekat ini.

Menterinya, M. Kula Segaran berkata, usaha itu bagi memastikan undang-undang buruh sedia ada dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

“Kami akan berbincang dengan Kerajaan Sabah terlebih dahulu.

”Kami merancang untuk mengadakan pertemuan dengan Kerajaan Sabah dan Kongres Kesatuan Sekerja Sabah (MTUC) Sabah tidak lama lagi.

”Kami sentiasa terbuka untuk berbincang kerana ia tidak mendatangkan sebarang kemudaratan,” katanya ketika ditanya mengenai permintaan Persatuan Majikan-Majikan Sabah (SEA) yang mahukan Sabah mempunyai Majlis Penasihat Buruh tersendiri.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat bersama Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) cawangan Sabah, di sini pada Isnin.

Sebelum ini, SEA pernah menyuarakan masalah dihadapi majikan-majikan di Sabah. Walaupun terdapat MEF cawangan Sabah namun, ia tidak mewakili keseluruhan majikan di negeri ini.

SEA berpendapat keadaan ekonomi di Sabah agak berbeza dengan Semenanjung. Malah, ada antara undang-undang sedia ada tidak praktikal untuk digunapakai di Sabah.

Malah, ketiadaan wakil dari Sabah dalam jawatankuasa teknikal Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan (NLAC) menyukarkan majikan di sini menyuarakan masalah-masalah mereka.

Kula Segaran berkata, beliau tidak mempunyai sebarang masalah mengenai cadangan untuk menempatkan wakil majikan Sabah dalam jawatankuasa teknikal NLAC.

Malah, beliau mencadangkan NLAC turut mengadakan mesyuarat di Sabah dan Sarawak bagi mendengar permasalahan dihadapi di kedua-dua negeri ini.

Mengenai perubahan polisi dalam Akta Buruh, Kula Segaran berkata, sebarang perubahan dalam polisi kerajaan memang akan mengambil kira pandangan semua pihak berkepentingan termasuk MEF, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) yang kini berada di NLAC.

Dalam pada itu, beliau juga akan turut berbincang dengan Kerajaan Sabah dan Sarawak untuk melaksanakan Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990 bagi memberi kemudahan penginapan kepada tenaga buruh asing.

Sebelum ini, akta berkenaan hanya dipraktikkan di Semenanjung Malaysia kerana kelulusan pelaksanaannya tidak meliputi Sabah dan Sarawak.

 

© Borneo Today