Seorang Jurutera yang mendakwa bekas majikannya kerap kentut ke arah dirinya telah bertindak memfailkan saman sebanyak AS$1.8 juta (RM 7.33 Juta).
David Hingst yang berasal dari Melbourne itu mendakwa bahawa bekas majikannya itu telah menderanya dengan kentut ke arahnya sewaktu dia masih bertugas di sebuah syarikat kejuruteraan yang berlaku sekitar 2008 dan 2009.
Menurut Hingst, bekas majikannya itu akan mengangkat punggungnya lalu kentut ke arahnya di mana ianya telah menyebabkan Hingst mengalami tekanan perasaan, rasa gemuruh serta beberapa kecederaan akibat daripada perbuatan lelaki itu.
Biarpun kes itu telah dibicarakan dan digugurkan oleh pihak mahkamah pada tahun lalu, Hingst sekali lagi membuat rayuan untuk menuntut bela ke atas penderitaan yang dilaluinya baru-baru ini.
“Semasa saya duduk dan menghadapkan muka saya ke dinding, dia akan masuk ke dalam bilik saya yang kecil serta tiada tingkap itu.
“Dia akan kentut di belakang saya dan terus keluar dari bilik tersebut. Sebanyak lima atau enam kali dia akan buat perkara yang sama dalam sehari.” Kata Hingst.
Hingst turut mendakwa bahawa bekas majikannya itu pernah membuat beberapa ugutan terhadapnya melalui perbualan telefon.
Menurut Hingst, dia mendakwa bahawa dia tidak mendapat perbicaraan yang adil dan tertekan dengan Hakim mahkamah Rita Zammit ketika dia disoal serta merasakan bahawa hakim itu berat sebelah.
Dalam perbicaraan itu, Hingst telah menuntut AS$ 1.8 juta (RM7.33 juta) terhadap bekas majikannya. Perbicaraan kes itu akan bersambung lagi pada jumaat ini.