PUTRAJAYA | Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan hari ini berkata penjenamaan semula Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB), sebuah agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia dari HRDF kepada HRD Corp adalah sejajar dengan aspirasi KSM untuk memperkasakan tenaga kerja negara.

“Tahniah dan syabas diucapkan kepada  Lembaga Pengarah, pengurusan dan warga kerja HRDF kerana telah merealisasikan hasrat saya untuk menjenamakan semula HRDF kepada HRD Corp.”

“Mereka dengan beraninya telah menyahut cabaran saya untuk memperluaskan peranan HRDF dari sebuah badan yang menguruskan dana untuk latihan kemahiran kepada HRD Corp yang akan menjadi pengemudi kepada semua jenis latihan kemahiran untuk kebolehpasaran rakyat Malaysia,” kata Saravanan di dalam majlis pengumuman penjenamaan semula tersebut petang tadi.

Menurut Saravanan, Majlis Penjenamaan Baharu HRD Corp akan dilancarkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 15 Jun 2021.

HRD Corp telah ditubuhkan 28 tahun yang lepas oleh kerajaan di bawah penyeliaan KSM sebagai agensi bagi pembangunan modal insan tenaga kerja negara melalui kerjasama strategik bersama golongan majikan yang membayar levi berdasarkan skima gaji pekerja mereka.

Sejak penubuhannya, HRD Corp telah memainkan peranan yang penting di dalam membentuk tenaga kerja yang berkemahiran tinggi melalui pelbagai skim latihan dan meningkatkan produktiviti bidang perindustrian negara di dalam memastikan daya saing dan pembangunan ekonomi negara.

 

 

©The Sentral