Putrajaya | Keseronokan belajar dalam bidang TVET bermula pada semester kedua kerana tiada asas dalam bidang elektrik. Namun, nekad graduan Diploma Kompetensi Penjaga Jentera Elektrik A1, Institut Kemahiran MARA (IKM) Jasin, Melaka, Nurafiqah Rozaidy berjaya menghabiskan pengajiannya dalam masa 3 tahun.

Menurut Nurafiqah, beliau memilih bidang ini atas dorongan bapa dan pakciknya yang berpengalaman luas dalam bidang elektrik.

“Bapa saya banyak bagi sokongan dan saya juga mendapatkan pandangan dari pakcik saya yang juga mahir dalam bidang elelktrik,” katanya.

Tambah Nurafiqah, tenaga pengajar dan pelajar-pelajar lelaki sentiasa memberi tunjuk ajar kepada beliau  walaupun hanya beliau seorang sahaja pelajar perempuan dalam kelas yang terdiri daripada 26 pelajar lelaki.

“Tenaga pengajar dan pelajar lelaki banyak membantu saya dan memberi peluang untuk saya mengendalikan sesuatu projek, walaupun saya pelajar perempuan” katanya lagi ketika ditemui di Majlis Konvokesyen IPMA 2019.

Nurafiqah berkata, ketika ini persaingan untuk mendapatkan kerja amat mencabar kerana kebanyakan syarikat memerlukan lelaki berbanding perempuan dalam bidang ini.

“Banyak syarikat saya pergi temuduga, mereka lebih yakin untuk mencari pekerja lelaki tapi saya tetap akan berusaha untuk mencari kerja  dalam bidang elektrik sehingga berjaya,” kata Nurafiqah

 

© eWARTA MARA