PUTRAJAYA | Tiada penyata gaji, tidak mendaftar pekerja serta majikan membuat potongan gaji yang tidak sah dan gagal mematuhi perintah gaji minimum antara kesalahan dikesan dalam Operasi Penguatkuasaan Undang-Undang Perburuhan (Ops Patuh) di pusat beli-belah di sini, hari ini.

Pengarah Bahagian Standard Perburuhan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JKTSM), Mohd Asri Abd Wahab, berkata kesalahan tidak mengambil kira bayaran insentif sebagai bayaran kerja lebih masa juga antara paling banyak dikenal pasti dalam ops berkenaan.

Katanya, bayaran elaun dan lain-lain yang diterima hendaklah diambil kira sebagai asas pengiraan bagi menentukan kadar bayaran kerja lebih masa yang mana hampir semua majikan yang diperiksa melakukan kesalahan berkenaan.

“Sehubungan itu, JTKSM menekankan majikan hendaklah mengutamakan upah dan hak pekerja yang perlu dibayar mengikut undang-undang buruh.

“Bagi kesalahan yang dikesan dalam operasi ini, JTKSM akan menjalankan siasatan lanjut dan tindakan pendakwaan atau kompaun akan diambil sekiranya didapati kesalahan berkenaan berasas.

“Majikan boleh didenda maksimum sehingga RM10,000 bagi setiap kesalahan yang disabitkan,” katanya kepada pemberita selepas mengetuai Ops Patuh di pusat beli-belah itu.

Mohd Asri berkata, sehingga April tahun ini sebanyak 137 kes sudah didakwa di mahkamah dan 161 lagi dikenakan kompaun kerana majikan melakukan pelbagai kesalahan.

“Bagi operasi kali ini, sebanyak 15 notis dikeluarkan oleh JKTSM kepada majikan atas kegagalan mengemukakan dokumen ketika pemeriksaan.

“Operasi ini bertujuan sebagai aktiviti pengesanan dan pencegahan awal sebarang pelanggaran undang-undang perburuhan yang cenderung dilakukan oleh majikan.

“Seksyen 65, Akta Kerja 1955 memperuntukkan kuasa pegawai JTKSM untuk menjalankan pemeriksaan ke atas mana-mana tempat pekerjaan pada bila-bila masa bagi membuat penyiasatan berkaitan pematuhan undang-undang perburuhan,” katanya.

Sekiranya anda ada kemusykilan berkenaan dengan Perintah Gaji Minimum, Potongan Gaji yang tidak sah & sebagainya dan memerlukan khidmat nasihat seorang konsultan atau peguam, anda boleh layari laman sesawang www.IRLaw.my hari ini.

 

©