KUALA LUMPUR | Kementerian Sumber Manusia bercadang memperkenalkan cuti paterniti (cuti kerana isteri bersalin) selama tiga hari kepada golongan bapa yang bekerja di sektor swasta melalui pindaan Akta Kerja 1955.
Timbalan Menterinya, Datuk Mahfuz Omar berkata pihaknya sentiasa prihatin terhadap permintaan daripada badan bukan kerajaan atau kesatuan sekerja dalam sektor swasta berhubung perkara itu.
“Draf pindaan di bawah Akta Kerja 1955 sedang disiap dan akan dikemukakan kepada Jemaah Menteri sebelum dibentangkan di Parlimen.
“Kita juga sudah pun mengadakan perbincangan dengan Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan, wakil kesatuan sekerja dan wakil majikan berhubung perkara ini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan program Hari Bertemu Pelanggan Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) serta Majlis Pelancaran Promosi Bayar dan Menang, di sini, hari ini.
Mahfuz berkata pindaan akta berkenaan turut melibatkan cuti bersalin kepada pekerja wanita di sektor swasta dari 60 hari kepada 90 hari seperti dilaksanakan dalam perkhidmatan awam.
Sebelum ini, Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) menggesa supaya cuti paterniti sekurang-kurangnya tujuh hari diperkenalkan dalam sektor swasta berikutan pindaan Akta Kerja 1955.
Pada masa ini, golongan bapa di sektor swasta tidak layak dari segi perundangan untuk cuti paterniti manakala kaum bapa dalam sektor awam menikmati tujuh hari cuti paterniti bergaji.
Sementara itu, Mahfuz berkata pihaknya menggesa lebih 300,000 peminjam PTPK membayar balik pinjaman membabitkan tunggakan lebih RM1.2 bilion sejak 2001.
Sehubungan itu, beliau berkata PTPK mengambil peluang menawarkan pemberian insentif bernilai sehingga RM40,000 kepada peminjam yang membuat bayaran balik pinjaman latihan kemahiran melalui Promosi Bayar dan Menang yang akan berlangsung dari 1 Julai hingga 30 Sept depan.
“Promosi ini dilakukan bagi memastikan kadar kutipan balik pinjaman dapat dipertingkatkan daripada semasa ke semasa dan perkembangan bayaran balik itu dapat dijalankan sebaik-baiknya oleh peminjam.
“Kita tidak mengambil langkah-langkah tindakan yang menyulitkan sebaliknya mengajak mereka untuk bersama dengan kita dan akhirnya memberikan kepada mereka tawaran lebih menguntungkan,” katanya.
Mahfuz berkata program seumpama itu akan diteruskan sekiranya ia memberi galakan kepada peminjam untuk membayar balik pinjaman mereka. – Bernama