SHAH ALAM | Kementerian Sumber Manusia akan menyiasat sebuah syarikat di Johor Bahru yang tidak mengiktiraf Hari Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai cuti umum.

Menurut sumber daripada kementerian tersebut, pihaknya akan menjalankan siasatan berhubung kesahihan surat yang ditularkan menerusi media sosial itu.

“Kita kena pastikan sama ada penyebaran surat ini tulen atau tidak sebelum boleh mengambil tindakan selanjutnya,” katanya ketika di hubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Hari ini, tular sepucuk surat daripada sebuah syarikat yang tidak mengiktiraf hari pertabalan itu sebagai cuti umum kerana mereka sudah menggazet 11 hari untuk cuti umum.

Pihak syarikat tidak akan memberikan sebarang pertimbangan berhubung perkara itu dan memberi amaran kepada kakitangan yang tidak hadir bekerja tanpa mengambil cuti akan diberikan surat amaran.

Surat yang ditandatangani oleh pengarah urusan syarikat itu juga tidak akan melayan sebarang pengumuman cuti umum oleh pihak kerajaan kerana senarai cuti umum yang dibuat oleh syarikat adalah muktamad.

Bagaimanapun, pada 26 Julai lalu, kementerian dalam satu kenyataan menjelaskan bahawa tarikh 30 Julai yang diumumkan Kerajaan Persekutuan sebagai hari kelepasan am tambahan di seluruh negara sempena hari pertabalan tersebut.

Ia juga adalah juga cuti umum yang diperuntukkan kepada pekerja sektor swasta menurut Seksyen 60D (1)(b) Akta Kerja 1955.

Berdasarkan kepada peruntukan itu, majikan boleh menggantikan mana-mana hari lain sebagai ganti cuti umum bergaji kepada pekerja.

Sekiranya tiada penggantian dibuat dengan mana-mana hari lain, pekerja yang bekerja pada tarikh itu layak menerima kadar gaji kerja pada cuti umum.

Menurut kementerian itu, cuti yang diisytiharkan Kerajaan Persekutuan itu adalah mengikut Seksyen 8, Akta Hari Kelepasan 1951(Akta 369) bagi Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Kementerian menjelaskan, kenyataan itu dikeluarkan bagi menarik perhatian majikan sektor swasta berkaitan kewajipan memberi cuti umum tambahan itu kepada pekerja selain menggariskan hak pekerja mendapat cuti umum bergaji bagi hari kelepasan berkenaan selaras dengan peruntukan perundangan perburuhan di Malaysia.

©