Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK) hari ini menghantar satu memorandum kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mendesak pertubuhan itu menyelesaikan isu permohonan Skim Insurans Pekerjaan (SIP) kepada pekerja pembersihan sekolah yang diberhentikan 31 Mei lepas.
Memorandum itu diserahkan Ketua Biro Pekerja PSM M. Sivaranjani kepada Ketua Pejabat Sistem Insurans Pekerjaan Perkeso, Datuk Mohd Sahar Darusman di Menara Perkeso, di Kuala Lumpur.
Sivaranjani berkata sebahagian daripada pekerja itu masih belum mendapat peluang kerja, dan sedang menganggur, mula membuat permohonan SIP sejak Jun lepas, namun mereka menghadapi pelbagai masalah dalam proses permohonan untuk mendapatkannya.
“Pihak Perkeso memberikan alasan keperluan dokumen untuk permohonan seperti slip gaji untuk enam bulan, notis berhenti, kontrak kerja atau bukti pekerjaan tidak mencukupi dan segelintir pekerja tidak mempunyai dokumentasi yang lengkap, walhal mereka boleh menyemak nama kontraktor melalui Pejabat Pendidikan Daerah dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia.
“Perkeso turut menolak permohonan pekerja dengan alasan permohonan adalah melalui dalam talian dan bukan manual. Hampir 99 peratus pekerja ini kurang berpelajaran dan buta komputer, bagaimana mereka boleh membuat permohonan itu?” katanya kepada pemberita ketika ditemui semasa menyerahkan memorandum itu kepada Perkeso.
Sementara itu, Mohd Sahar Darusman berkata beliau mengambil maklum perkara itu dan akan menyemak semula permohonan mereka.
“Setakat ini kita cuma menerima 100 lebih permohonan SIP ini, kalau nak mohon SIP, pemohon hanya perlu membawa kad pengenalan diri sahaja datang ke kaunter Perkeso dan minta pegawai kita untuk mengisi permohonan itu.
“Kita tidak akan tolak (permohonan SIP), tidak ada sebab untuk tolak dan syarat kelayakan tertakluk pada undang-undang… kita memang sudah ada perbincangan dengan Kementerian Pendidikan (KPM) dan akan mengatasi masalah ini,” jelasnya.
Katanya pihak Jabatan Tenaga Kerja telah menghubungi kontraktor berkaitan untuk melihat butiran permohonan, dan dari segi SIP, Perkeso akan melihat semula kes itu dan akan pertimbangkan permohonan yang layak.
“Kalau dokumentasi yang dikemukakan lengkap maka kita akan bayar kepada mereka dalam tempoh 14 hari,” katanya.
Sebelum ini dilaporkan kira-kira 45,000 pekerja pembersihan di sekolah telah diberhentikan secara tiba-tiba tanpa notis dan pampasan oleh kontraktor pembersihan atas dakwaan pemberhentian itu berikutan KPM mengurangkan bajet kerja-kerja pembersihan di sekolah – Bernama