KUALA LUMPUR | Kementerian Sumber Manusia komited memperkasakan modal insan dan pasaran buruh semasa dengan peruntukan RM4.134 bilion yang disalurkan kepada agensi di bawah kementerian itu membabitkan program perlindungan sosial, latihan kemahiran dan insentif pengambilan pekerja.

Menterinya Datuk Seri M. Saravanan berkata daripada peruntukan itu, sejumlah RM1.5 bilion diberikan kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi pelaksanaan Program Subsidi Upah 2.0.

“Insentif ini menggalakkan syarikat mengambil pekerja tempatan. Had 200 pekerja dinaikkan kepada 500 orang untuk syarikat besar di bawah sektor pelancongan dan peruncitan.

“Berbanding negara lain, kerajaan dapat mengurangkan kadar pengangguran melalui subsidi upah yang mana PERKESO membantu hampir 2.7 juta pekerja daripada hilang pekerjaan serta menyelamatkan 300,000 syarikat daripada gulung tikar,” katanya pada sidang media khas berhubung Belanjawan 2021 di sini semalam.

Beliau berkata dana yang diperuntukkan itu akan digunakan bagi mengatasi isu pengangguran, melahirkan peluang pekerjaan serta menambah kemahiran seperti ‘upskilling,’ ‘reskilling,’ ‘crosskilling’ dan ‘realskilling.’

Saravanan berkata kadar pengangguran negara yang dicatatkan sebanyak 5.3 peratus pada Mei dan turun kepada 4.7 peratus pada September adalah hasil pelaksanaan inisiatif seperti Program Subsidi Upah serta Penjana Kerjaya.

Beliau juga berkata susulan kejayaan program PenjanaKerjaya, sebanyak RM2 bilion diperuntukkan bagi pelaksanaan siri kedua program tersebut.

“Insentif untuk pekerja bergaji RM1,500 ke atas akan dinaikkan daripada kadar rata RM800 sebulan kepada 40 peratus daripada gaji bulanan.

“Pengambilan pekerja (yang terdiri daripada) orang kelainan upaya (OKU), penganggur jangka panjang, ibu tunggal dan pekerja yang diberhentikan, majikan akan diberikan lagi insentif tambahan sebanyak 20 peratus daripada gaji bulanan pekerja berkenaan,” katanya.

Selain itu, Saravanan berkata insentif tambahan sebanyak 20 peratus daripada gaji bulanan akan ditawarkan bagi pekerja tempatan yang menggantikan pekerja asing dan kadar maksimum program latihan dinaikkan daripada RM4,000 kepada RM7,000 bagi menjalani program kemahiran tinggi atau sijil profesional. — Bernama