IPOH | Sebuah syarikat minyak dan gas didenda RM30,000 atau penjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini kerana gagal memastikan keselamatan pekerjanya sehingga berlaku kemalangan maut.

Hakim Norashima Khalid menjatuhkan hukuman itu ke atas Syarikat Sapura Fabrication Sdn Bhd setelah Ketua Fabrikasi syarikat berkenaan, Emha Antariksa, 40, warga Indonesia, yang mewakili syarikat itu membuat pengakuan bersalah.

Mengikut pertuduhan, syarikat itu sebagai majikan didapati telah gagal menjalankan kewajipannya untuk memastikan, setakat yang praktik, keselamatan, kesihatan dan kebajikan semasa bekerja semua pekerja di bawah kawalannya iaitu gagal memastikan pemeriksaan ke atas ‘webbing sling’ dijalankan sebelum digunakan.

Tindakan itu menyebabkan berlakunya kemalangan maut seorang pekerja warga tempatan, Shollehudin Samsudin, 28, di Lumut Port Industrial Park, Kampung Acheh, Lumut, kira-kira jam 3.35 petang, 3 Julai lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 19 akta sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak, Shahrill Sulaiman manakala syarikat itu diwakili peguam Gary Xavier.

Pada 3 Julai lepas, mangsa yang merupakan pekerja separa mahir mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan badan, maut di tempat kejadian selepas webbing sling yang digunakan putus menyebabkan mangsa dihempap ‘saddle support’ seberat satu tan.

Ketika kejadian, mangsa bersama beberapa orang pekerja yang lain sedang menjalankan kerja pemasangan ‘saddle support’ secara manual pada bahagian ‘jacket leg’ iaitu dengan menggunakan webbing sling dan ‘chain block’ – BERNAMA

 

©