KUALA LUMPUR | Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) mendesak Kerajaan Persekutuan untuk berpegang janji memberi subsidi 50 peratus sekiranya mereka mahu menaikkan gaji minimum kepada RM1,200 untuk 57 bandar utama di negara ini.
Pengarah Eksekutifnya, Datuk Shamsuddin Bardan berkata, keputusan kerajaan yang meminda jumlah kenaikan gaji sebanyak tiga kali dalam masa setahun itu, dilihat tidak rasional, dan membebankan para majikan.
Selain itu, katanya lagi, kajian mendapati kenaikan kepada RM1,200 itu hanya memberi kesan positif kepada sekitar 1.5 juta pekerja asing di negara ini, dan ia tidak akan membantu meningkatkan kadar perbelanjaan domestik.
“Kami telah membuat kiraan pantas, dan kami dapati 1.5 juta pekerja asing di negara ini yang akan menerima kesan secara langsung dari pindaan ke atas gaji minimum ini. Kita harus ingat, kesan kenaikan ini bukan semata-mata ke atas gaji minimum sahaja, tetapi juga bayaran kerja lebih masa dan sebagainya.
“Jadi katalah setiap RM100 kenaikan, ia akan beri kesan RM130 kepada majikan kerana faktor bayaran kerja lebih masa itu. Ini adalah kiraan konservatif. Dan kalau kita pertimbangkan kiraan ini ke atas 1.5 juta pekerja asing, ia akan mengakibatkan kos tambahan RM2.5 bilion,” katanya kepada sidang media, di sini hari ini.
Jelas Shamsuddin lagi, semua pihak harus ingat RM2.5 bilion itu tidak akan dibelanjakan di dalam negara, sebaliknya pekerja asing ini akan menghantar wang gaji mereka ke negara asal masing-masing.
Perkara 34 Manifesto Pakatan Harapan menyebut – “Kerajaan Pakatan Harapan akan berkongsi 50 peratus daripada kos ini dengan majikan.”
Namun ia jelas tertera, subsidi itu boleh dilaksanakan selepeas Kerajaan Pakatan Harapan berjaya menaikkan gaji minimum ke RM1,500 dalam penggal ini.
Sementara itu, Shamsuddin berkata, adalah lebih baik kenaikan itu, yang sepatutnya bermula 1 Januari ini, ditunda dahulu sehingga kesemua pihak berkepentingan dapat mencari jalan penyelesaian.
Ujarnya lagi, MEF akan mengadakan pertemuan dengan Kementerian Sumber Manusia esok bagi membentangkan kertas cadangan mereka supaya ianya dapat dipertimbangkan.