KUALA LUMPUR | Pindaan kepada Akta Perhubungan Perusahaan 1967 (Akta 177) diluluskan sebulat suara oleh Dewan Negara, kelmarin, bagi memastikan hak pekerja setara dengan piawaian antarabangsa dan mematuhi konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

Pindaan yang dibentangkan itu mendapat reaksi positif dan mencetuskan perbahasan yang hangat dalam kalangan Senator sebelum diluluskan.

Kementerian Sumber Manusia dalam kenyataan, semalam, berkata pindaan itu adalah sebahagian daripada janji Nombor 35 Manifesto Pilihanraya Pakatan Harapan (PH) bagi memenuhi piawaian perburuhan antarabangsa, yang akan membawa transformasi kepada landskap perhubungan perusahaan dalam negara ini.

Pindaan utama terhadap akta itu meliputi perwakilan bagi pembuangan kerja, rayuan terhadap pampasan Mahkamah Perusahaan ke Mahkamah Tinggi dan membaik proses tuntutan pengiktirafan.

Selain itu, ia turut menyentuh mengenai hak berunding tunggal, membenarkan kesatuan sekerja membangkitkan secara umum isu berkaitan hak budi bicara majikan, rujukan pertikaian perusahaan ke Mahkamah Perusahaan, pengenaan faedah serta mengecilkan senarai perkhidmatan perlu.

Menerusi pindaan membabitkan perwakilan bagi pembuangan kerja, kuasa Menteri untuk merujuk perkara berkenaan digantikan dengan Ketua Pengarah Perhubungan Perusahaan.

Ia bagi mempercepatkan proses dan kes yang tidak dapat diselesaikan menerusi proses rundingan damai di Jabatan Perhubungan Perusahaan untuk terus dirujuk ke Mahkamah Perusahaan.

“Selain itu, majikan atau pekerja boleh diwakili oleh sesiapa sahaja mengikut pilihan mereka, kecuali peguam, semasa proses rundingan damai di jabatan itu.

“Pindaan ini juga membolehkan Mahkamah Perusahaan menurunkan pampasan tanpa terikat dengan sekatan dalam Jadual Kedua, sekiranya pembuangan kerja disebabkan tindakan memecah-belah kesatuan sekerja.

“Malahan, Menteri Sumber Manusia diberi kuasa untuk membuat perintah bagi membolehkan pekerja badan-badan berkanun yang diberhentikan, untuk memfailkan tuntutan pembuangan kerja tidak adil di Jabatan Perhubungan Perusahaan,” katanya.

Melalu pindaan ini juga, pekerja yang tidak berpuas hati dengan pampasan Mahkamah Perusahaan boleh membuat rayuan kepada Mahkamah Tinggi, dalam tempoh 14 hari dari tarikh penerimaan pampasan.

Beliau turut berkata, bagi menambahbaik proses tuntutan pengiktirafan, Ketua Pengarah Perhubungan Perusahaan juga akan mula berperanan memutuskan perkara berkaitan isu kapasiti dan pengiktirafan yang membabitkan kesatuan sekerja, menggantikan kuasa menteri.

“Melalui pindaan ini, proses pengiktirafan akan diletakkan di bawah Jabatan Perhubungan Perusahaan sahaja, iaitu berbeza dengan sebelum ini yang turut membabitkan Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja.

“Dalam memastikan hak pekerja terpelihara, pekerja kini dapat menimbulkan isu berbangkit secara umum berkaitan dengan pertukaran, pengambilan pekerja, penamatan perkhidmatan akibat lebihan tenaga kerja, pembuangan kerja dan pemulihan kerja serta pengagihan tugas.

“Berbeza dengan sebelum ini, kesatuan sekerja hanya boleh menimbulkan isu berkaitan kenaikan pangkat,” katanya.

Bagi rujukan pertikaian perusahaan ke Mahkamah Perusahaan pula, ia akan dirujuk hanya dengan persetujuan pihak bertikai, melainkan membabitkan empat sebab pengecualian yang ditetapkan.

Sementara itu, Mahkamah Perusahaan turut diberi kuasa untuk mengenakan faedah pada kadar lapan peratus setahun, atau yang lebih rendah sebagaimana yang diarahkan, manakala Jadual Pertama mengenai Perkhidmatan Perlu digantikan dengan jadual baharu, selaras dengan piawaian perburuhan antarabangsa.

“Kementerian kini turut mengkaji semula beberapa akta lain, termasuk Akta Kerja 1955 dan Akta Kesatuan Sekerja 1959 yang bakal dibentang tidak lama lagi,” katanya.

© Berita Harian