KUALA LUMPUR | Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mengingatkan majikan supaya mengikuti syarat serta jujur sewaktu mengemukakan permohonan bagi program subsidi upah (PSU) dan program pengekalan pekerjaan (ERP).

Ketua Eksekutifnya, Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata majikan diminta tidak memasukkan pekerja tidak berdaftar dengan pertubuhan itu sebelum 1 April 2020 atau nama pekerja yang tidak wujud.

“Bagi majikan yang membuat permohonan PSU yang mana pekerja mereka tidak berdaftar dan mencarum dengan Perkeso sebelum 1 April 2020, walaupun telah bekerja sebelum tarikh itu, senarai majikan berkenaan akan dikemukakan kepada Bahagian Penguatkuasaan Perkeso untuk tindakan selanjutnya,” menurut kenyataan mengenai status mingguan permohonan yang dikeluarkan semalam.

Sehingga kelmarin, Perkeso menerima 278,505 permohonan bagi PSU daripada majikan yang mewakili 2.24 juta pekerja sejak permohonan dibuka pada 1 April lalu.

Bagi ERP pula, katanya, Perkeso menerima 33,264 permohonan daripada majikan yang mewakili 296,718 pekerja.

Seperti yang diumumkan Menteri Sumber Manusia, M Saravanan, permohonan bagi ERP yang masih lagi dibuka mendapat peruntukan tambahan sebanyak RM120 juta serta akan memberi manfaat kepada lebih ramai pekerja.

Permohonan subsidi itu masih boleh dibuat melalui prihatin.perkeso.gov.my. atau berhubung dengan Perkeso melalui perkeso@perkeso.gov.my atau www.facebook.com/Perkeso.Official/ atau hubungi 03-8091 5100/03-4264 5555/1-300-22-8000.

 

 

©