PETALING JAYA | Seorang bekas penyelia di firma keselamatan, yang diberhentikan kerja, susah hati kerana tidak pasti adakah aduannya akan didengar Jabatan Perhubungan Perusahaan Selangor.

Sebabnya S Tanabalan menghantar representasinya ke jabatan itu pada 19 Mei, iaitu selepas tempoh 60 hari yang ditetapkan bawah Seksyen 20(1) Akta Perhubungan Perusahaan

Peguamnya, R Kengadharan berkata, Tanabalan, 39, tidak dapat pergi ke jabatan itu yang terletak di Shah Alam untuk membuat aduan menjelang 3 Mei kerana pejabat tutup.

Negara dikenakan perintah kawalan pergerakan sejak 18 Mac hingga 29 Apr dan kemudian perintah kawalan pergerakan bersyarat bagi mengekang penyebaran virus Covid-19.

“Kami ke jabatan itu pada 18 Mei tetapi representasi Tanabalan tidak diterima kerana selepas tempoh 60 hari. Bagaimanapun, jabatan terima aduan itu selepas bantahan dibuat pada keesokan hari,” katanya kepada FMT.

Aduan mesti didengar dan diselesaikan di peringkat jabatan sebelum menteri sumber manusia membuat keputusan sama ada untuk merujuk kes ke Mahkamah Perusahaan.

“Kami mahu perkara ini diselesaikan secepat mungkin kerana ia melibatkan mata pencarian pekerja,” kata peguam itu.

Tanabalan diberhentikan kerja pada 5 Mac dan dia sepatutnya membuat aduan pada 3 Mei.

Kengadharan berkata seorang pegawai jabatan itu berkata anak guamnya patut membuat aduan melalui e-mel dalam tempoh itu.

“Ini tidak adil kerana tiada pengumuman rasmi oleh Kementerian Sumber Manusia atau jabatan meminta mereka yang diberhentikan kerja membuat aduan secara elektronik,” katanya.

Peguam itu berkata kakitangan daripada kumpulan berpendapatan rendah juga mungkin tiada komputer dan kemudahan internet untuk memfailkan representasi.

“Saya menulis kepada setiausaha kementerian dan ketua pengarah jabatan bagi menonjolkan masalah ini kerana mungkin ada yang lain di luar sana menghadapi masalah sama seperti anak guam saya,” katanya.

Sementara itu, peguam perusahaan, S Muhendaran berkata undang-undang kes menyatakan kakitangan yang diberhentikan kerja wajib memfailkan rungutan dalam tempoh itu.

“Mahkamah Perusahaan mungkin tiada kuasa untuk mendengar kes itu walaupun menteri membenarkan kes dirujuk ke situ.”

Muhendaran berkata pengecualian harus dibenarkan dalam keadaan semasa.

“Kakitangan berkenaan mungkin perlu ke Mahkamah Tinggi untuk memohon semakan bagi mengarahkan jabatan mendengar aduan itu. Semua ini memerlukan belanja dan memakan masa pekerja.”

 

 

 

©