KUALA LUMPUR | Sebanyak 20 peratus daripada 1,200 buah hotel dibawah Persatuan Perhotelan Malaysia (MAH) berdepan tindakan menutup operasi sepenuhnya atau menangguhkan dalam tempoh enam bulan susulan pandemik COVID-19.

Presiden Persatuan Perhotelan Malaysia (MAH), Halim Merican berkata, tindakan yang diambil itu telah menjejaskan 6,000 kakitangan industri terbabit yang terpaksa diberhenti kerja atau mengambil cuti tanpa gaji dalam tempoh tertentu.

Menurut beliau, perkara tersebut mungkin akan berlanjutan dalam tempoh lebih lapan bulan meskipun negara sudah pulih daripada wabak itu.

“Berdasarkan tinjauan yang buat sebelum ini sejak penghujung April lalu, industri ini jelas berada dalam keadaan tidak baik dan ada di antara hotel terpaksa mengambil pendekatan menutup sementara sehingga hujung tahun ini dan ada yang telah tutup operasi sepenuhnya.

“Perkara itu secara tidak langsung telah menjejaskan 6,000 pekerja terpaksa diberhentikan kerja dan mengambil cuti tanpa gaji berikutan operasi hotel tidak berjalan secara normal,” katanya menerusi temubual dalam Buletin AWANI pada Sabtu.

Halim menambah, meskipun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) membenarkan hotel beroperasi, namun situasinya masih sama.

Ini kerana, katanya, industri perhotelan tidak hanya merujuk kepada penyediaan penginapan sahaja, sebaliknya, turut melibatkan banyak aspek terutamanya penerbangan dan pelancongan.

“Sekiranya syarikat penerbangan dan kebenaran keluar masuk negara masih tidak dibenarkan, kami turut berdepan dengan cabaran untuk menerima pelangan.

“Meskipun kerajaan mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) untuk operasi hotel, tetapi fokus kami hanya untuk pelancongan di peringkat domestik sahaja buat masa ini,” ujarnya.

 

 

©