PETALING JAYA | Lebih 30,000 pekerja dalam industri perhotelan di seluruh negara hilang pekerjaan susulan penularan pandemik Covid-19, kata Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).

Presidennya, Abdul Halim Mansor memberitahu Bernama, lebih 10,000 lagi diminta bercuti tanpa gaji dan lebih 6,000 dipotong gaji.

Dari 18 Mac hingga 27 Mei lalu, katanya, MTUC melalui Covid-19 Helpdesknya menerima 383 aduan pemotongan gaji, 186 kes pembuangan kerja, 37 aduan dipaksa bercuti, 54 kes cuti tanpa gaji dan 17 kes berkaitan penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Beliau berkata, bagi memastikan kelangsungan hidup bekas pekerja hotel itu, kerajaan perlu menghentikan kebergantungan terhadap pekerja asing dan mengutamakan rakyat tempatan bagi mengisi kekosongan kerja.

Katanya, kerajaan harus menggubal pelan induk demi kelangsungan industri perhotelan, termasuk pelan jangka pendek yang merangkumi kempen menggalakkan pelancongan domestik.

“Pemilik hotel juga patut menawarkan diskaun dan faedah lain untuk menarik pelanggan, manakala kerajaan pula patut menawarkan potongan bil elektrik dan air serta potongan cukai pendapatan untuk meringankan beban pemilik hotel.”

Beliau yang juga pengerusi GiatMara menyarankan bekas pekerja hotel menyertai kursus kemahiran di GiatMara atau kolej kemahiran, jika mereka mahu menukar profesion atau menjadi usahawan.

Sementara itu, Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja Hotel, Bar dan Restoran Semenanjung, Rusli Affandi berkata kerajaan patut memberikan lesen berniaga kecil-kecilan untuk membantu mereka yang diberhentikan kerja memulakan kehidupan baru.

“Mereka yang begitu lama di dalam industri perhotelan agak sukar untuk menukar bidang dalam masa terdekat.

“Dengan lesen berniaga, dapatlah mereka melunaskan pinjaman, termasuk yuran anak-anak yang masih belajar dan paling penting untuk mereka mulakan hidup baru.”

Katanya, kira-kira 400 daripada keseluruhan 8,000 ahli berdaftarnya terjejas dengan penutupan 4 hotel, iaitu 3 di Melaka dan satu di Petaling Jaya.

“Ramai yang kena buang kerja, cuma kami tidak tahu jumlah sebenar….kami juga dapati banyak hotel yang terjejas tidak mempunyai kesatuan sekerja.”

 

 

 

©