PETALING JAYA | Tesco Malaysia akan menamatkan kontraknya dengan agensi pekerjaan yang membekalkan pekerja asing.

“Demi mematuhi dasar kerajaan baru mengenai pengambilan pekerja dari luar Malaysia, kami perlahan-lahan mengurangkan jumlah kontrak perkhidmatan dengan agensi ke arah mengambil lebih ramai rakyat Malaysia secara langsung.

“Kami menjangkakan 100% tenaga kerja tempatan dalam peranan pengisian semula di semua kedai dan pusat pengedaran kami menjelang November 2020,” kata seorang jurucakap Tesco kepada FMT.

Penamatan kontrak itu dijangka bermula bulan depan dan syarikat itu kini dalam proses menyelesaikan yuran pengambilan pekerja.

Ramai pekerja asing tiada pilihan kecuali mengambil pinjaman berfaedah tinggi, menjual hartanah atau harta benda lain untuk membayar yuran pengambilan bekerja di Malaysia. Tambahan, bayaran balik bulanan yang tinggi kepada agensi pekerjaan itu menyebabkan mereka terikat kepada hutang.

Tesco Malaysia kini mempunyai lebih 7,000 pekerja di 60 cawangannya dan 2 pusat pengedaran di Semenanjung Malaysia. Sumber yang tahu memberitahu FMT, sekurang-kurangnya 1,500 pekerja akan terjejas dengan penamatan kontrak itu.

Jurucakap Tesco berkata, keputusan menamatkan kontrak itu sejajar keputusan kerajaan membekukan pengambilan pekerja asing sehingga akhir tahun ini dan juga tumpuan syarikat terbabit “mengambil rakyat Malaysia saja” ketika kadar pengangguran mencapai tahap tertinggi dalam tempoh 22 tahun ini.

Abdul Aziz Ismail, ahli pasukan petugas Majlis Anti-pemerdagangan Manusia Selangor, memberitahu FMT agensi pekerjaan kini hanya mempunyai 2 pilihan.

“Sebuah agensi boleh memohon memo periksa keluar dengan Jabatan Imigresen untuk pekerja pulang ke negara asal mereka.

“Jika mereka tidak berbuat demikian, mereka perlu membantu pekerja itu menukar pekerjaan secara sah. Jika tidak, pekerja itu akan berada di sini secara haram selepas pas kerja mereka tamat tempoh.”

Aziz mendapati pekerja tidak boleh diberhentikan serta-merta kerana agensi itu perlu memberi alasan sah untuk menamatkan perkhidmatan mereka.

Di bawah Akta Perhubungan Perusahaan Malaysia, pekerja yang dibuang tanpa alasan munasabah oleh majikan boleh merayu kepada ketua pengarah perhubungan perusahaan untuk dikembalikan ke pekerjaan asal mereka dalam 60 hari pemberhentian mereka.

Aziz tidak faham kenapa Tesco mahu menyumber luarkan operasinya sedangkan ia boleh mengambil terus pekerja asing.

Tesco Malaysia menjadi tumpuan pada Mei lalu apabila ibu pejabatnya di United Kingdom menemui contoh penganiayaan terhadap pekerja asing.

Pelbagai dakwan didedahkan 168 pekerja asing Tesco Malaysia yang ditemubual untuk laporan tahunan perhambaan moden tahun ini, termasuk penahanan pasport, pengurangan gaji secara tidak sah dan tidak dapat dijelaskan, berhutang dengan banyak kepada broker buruh di negara asal serta kerja lebih masa keterlaluan.

Tesco kemudiannya berkata, ia akan menyiasat secara mendalam dakwaan khusus, mewujudkan talian sokongan dalam bahasa ibunda untuk pekerja agensi serta garis panduan bagi memastikan pekerja mempunyai akses kepada pasport mereka apabila diperlukan.

Jurucakap Tesco memberitahu FMT, syarikat itu bekerjasama dengan kontraktor agensi untuk memastikan gaji dan manfaat pekerja asing sejajar undang-undang pekerjaan Malaysia, piawaian kediaman ditingkatkan dan semua pekerja mempunyai akses kepada talian perlindungan bebas untuk membuat aduan.

Jurucakap itu mendakwa Tesco Malaysia mempunyai “pendekatan toleransi sifar untuk eksploitasi” dan kontraktor agensi memberi jaminan kepada syarikat itu, pekerja asing mempunyai akses tidak terhad kepada pasport mereka.

 

 

©