JOHOR BAHRU | Dua pengurus kilang masing-masing dikompaun RM10,000 kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dalam penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd. Padzli Mohd. Zain berkata, kedua-dua mereka dikenakan kompaun kerana membenarkan jumlah pekerja bekerja melebihi had ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Menurut beliau, kedua-dua pengurus wanita berkenaan berusia 46 dan 49 tahun.

“Pada pukul 10.30 pagi dan 11.30 pagi semalam, sepasukan polis dari Balai Polis Bandar Dato’ Onn membuat pemeriksaan terhadap dua buah kilang kejuruteraan di kawasan berkenaan.

“Pemeriksaan mendapati jumlah pekerja yang hadir bekerja di kilang berkenaan melebihi had ditetapkan dalam tempoh PKP 3.0.

“Sehubungan itu, Pengurus Sumber Manusia kedua-dua kilang berkenaan ditahan dan dikenakan kompaun di bawah kesalahan Peraturan 17, Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Mohd. Padzli, pihaknya memberi peringatan kepada semua pemilik kilang agar sentiasa mematuhi SOP ditetapkan kerajaan dalam pengoperasian premis masing-masing.

 

 

 

©Utusan Malaysia