KUALA LUMPUR | Majikan sektor swasta mempunyai kuasa untuk mewajibkan kakitangan masing-masing mengambil vaksin COVID-19 bagi mencegah penularan wabak itu di premis masing-masing.

Pensyarah Kanan Fakulti Undang-Undang Universiti Teknologi MARA (UiTM), Muhammad Umar Abdul Razak, berkata mengikut Seksyen 15 dan 16 Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerja 1994 (AKKP) majikan ada kuasa membuat dasar keselamatan dan kesihatan bagi memastikan keselamatan di tempat kerja.

Beliau berkata, mewajibkan vaksinasi adalah antara kaedah untuk memastikan tempat kerja selamat daripada menjadi kluster penyebaran wabak kerana tempat kerja menyumbang kepada majoriti kes COVID-19 di negara ini.

Katanya, adalah munasabah jika majikan mengenakan syarat itu untuk membendung penyebaran wabak COVID-19 di tempat kerja dan seterusnya menjangkiti komuniti.

“Namun, majikan perlu mengambil kira hak pekerja yang tidak boleh divaksin atas sebab-sebab kesihatan.

“Majikan juga boleh meminta pekerja menandatangani kontrak pekerjaan baharu yang mempunyai peruntukan mewajibkan vaksin ini.

“Kontrak ini tidak boleh dicabar di mahkamah kerana ia adalah kontrak persendirian di antara dua belah pihak iaitu majikan dan pekerja,” katanya.

Muhammad Umar berkata, majikan mempunyai hak mengikut Seksyen 15 dan 16 AKKP untuk melindungi pekerja yang sudah menerima vaksin dengan memastikan tempat kerja adalah selamat untuk semua.

Beliau berkata, akta itu juga memperuntukkan kuasa seorang pegawai keselamatan dan kesihatan yang dilantik untuk memastikan tempat kerja adalah selamat.

Katanya, pegawai yang dilantik perlu memainkan peranan membuat dasar keselamatan dan kesihatan tempat kerja yang perlu dipatuhi oleh semua pekerja.

Menurutnya, kerajaan juga boleh meminda akta sedia ada kerana mengikut Perlembagaan Persekutuan, ia boleh menggubal undang-undang yang bersifat diskriminatif atas alasan keselamatan dan kesihatan awam di bawah Perkara 9(3) Perlembagaan.

Katanya, pindaan itu bagaimanapun memerlukan undi majoriti ahli Dewan Rakyat untuk diluluskan.

Peguam, Fahmi Abdul Moin, berkata walaupun tiada peruntukan memberi kuasa kepada majikan mewajibkan pekerja divaksin, asas utama sektor pekerjaan ialah majikan wajib memastikan keselamatan dan kesihatan dirinya dan orang lain di tempat kerja.

Beliau berkata, ia jelas dinyatakan mengikut Seksyen 24 AKKP dan di dalam mana-mana sektor, setiap majikan akan menyediakan perjanjian pekerjaan membabitkan terma yang wajib diikuti oleh pekerja sebelum menerima mereka.

Katanya, kedua-dua pihak harus sedia maklum berhubung terma dan syarat yang ditetapkan apabila menjalankan urusan dalam sektor di tempat mereka bekerja.

“Secara asasnya, setakat hari ini, tiada peruntukan undang-undang yang mewajibkan mana-mana individu untuk menerima suntikan vaksin.

“Akta 342 (Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1998) tidak meletakkan kesalahan kepada orang yang enggan menerima vaksin COVID- 19 dan tidak termaktub kepada satu kesalahan jenayah. Penerimaan vaksin mestilah secara sukarela dan tiada unsur paksaan,” katanya.

Fahmi berkata, bagaimanapun jika ada pekerja yang enggan divaksin dan perbuatan itu boleh mendedahkan pekerja lain terhadap wabak, majikan perlu mengambil tindakan tegas dengan memberi surat tunjuk dan jika masih enggan, tindakan buang kerja boleh dilakukan.

Bagaimanapun katanya, ia harus mengikut lunas undang-undang yang ditetapkan oleh Jabatan Sumber Manusia atau undang-undang buruh.

 

 

©