SELANGOR | Ketika ekonomi gig digital Malaysia terus berkembang, Workana, sebuah platform pekerja bebas terkemuka, telah bekerjasama dengan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) bagi melancarkan Inisiatif Selangor Freelance (Selangor Freelance Initiative). Program ini bertujuan untuk memesatkan daya saing warga Selangor dengan meningkatkan kemahiran mereka melalui latihan yang diperlukan bagi meningkatkan kebolehkerjaan mereka.

Ekonomi gig Malaysia semakin relevan dengan peningkatan kadar pengangguran negara — satu kajian oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) 2019 menganggarkan bahawa hampir 40% daripada tenaga kerja Malaysia akan menjadi pekerja gig dalam tempoh lima tahun yang akan datang, iaitu dua kali ganda purata global.

Inisiatif Selangor Freelance direka untuk meningkatkan kesedaran mengenai manfaat menyertai ekonomi gig digital, dan bertujuan untuk memberi insentif kepada warga Selangor untuk mempelajari kemahiran baharu.

Sebagai sebahagian daripada program itu, 5,000 warga Selangor akan menjalani sesi latihan pekerja bebas khusus oleh Workana yang merangkumi pelajaran penting tentang amalan terbaik pekerja bebas digital, cara untuk memanfaatkan sepenuhnya kerja seseorang sebagai bakat bebas, dan cara untuk memanfaatkan platform Workana bagi menjana pendapatan.

Peserta akan menerima insentif tunai dan profil Workana yang dipertingkatkan, bagi mengesahkan bahawa mereka diperakui sah dan berupaya menghasilkan kerja bertaraf 5 bintang, seterusnya meningkatkan prospek mereka untuk diambil bekerja untuk kerja bebas di peringkat tempatan dan antarabangsa.

YAB Dato’ Seri Amirudin bin Shari, Menteri Besar Selangor yang juga merupakan Pengerusi Lembaga Pengarah PNSB berkata, “Malaysia tidak terlepas daripada kesan pandemik COVID-19, seperti yang dapat kita lihat daripada peningkatan kadar pengangguran yang melonjak sehingga 4.5 peratus pada tahun 2020 daripada 3.3 peratus pada tahun 2019. Mujurlah pada masa yang sukar ini, ekonomi gig telah muncul dengan peluang baharu untuk bersaing bagi mendapatkan pekerjaan bukan sahaja di dalam negara, tetapi juga di peringkat antarabangsa. Kami berharap bahawa melalui inisiatif ini, kami dapat memberikan warga Selangor kelebihan daya saing yang diperlukan untuk mendapatkan pekerjaan di platform kerja seperti Workana bagi meraih manfaat sepenuhnya daripada ekonomi gig dan memperoleh pendapatan.”

Tomas O’Farrell, pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif di Workana, berkata, “Kami telah melihat platform kami berkembang sepuluh kali ganda di seluruh rantau pada separuh pertama tahun 2021 berbanding tempoh yang sama pada tahun lepas, menunjukkan bahawa ekonomi gig benar-benar berkembang maju di rantau ini. Kami teruja untuk membantu melengkapkan warga Selangor dengan kemahiran, alatan dan pengetahuan yang diperlukan untuk cemerlang di platform seperti Workana dan mendapatkan lebih banyak pekerjaan sambil menikmati fleksibiliti serta kebebasan yang dinikmati oleh semua pekerja bebas.”

Semua warga Malaysia yang berumur sekurang-kurangnya 18 tahun dan menetap di negeri Selangor layak menyertai program ini. Mereka akan diminta untuk melengkapkan satu siri modul latihan, mendaftar dengan Workana dan menjalani proses suai tugas. Selepas selesai menjalani program ini, pekerja bebas akan menerima akses segera kepada projek berbayar. Warga Selangor yang berminat untuk mengambil bahagian dalam inisiatif ini boleh mendaftar di https://selangor.workana.com

© Jobs: Associate - Telum Media