MELAKA – Nasib seorang mekanik berusia 36 yang diberhentikan kerja tanpa alasan munasabah akhirnya mendapat pembelaan Mahkamah Buruh selepas majikanya diperintah membayar wang berjumlah RM23,493.26.
Pengarah Jabatan Tenga Kerja (JTK) Melaka, Johana Bakar berkata, majikan mendakwa bekas pekerja itu diberhentikan kerja dengan alasan dia mempunyai masalah disiplin namun gagal membuktikan kesalahan tersebut di Mahkamah Buruh pada 22 Januari lalu.
Menurutnya, syarikat bengkel tayar dan membaiki kenderaan itu kemudian diarahkan untuk menyelesaikan bayaran tersebut kepada bekas pekerja yang ditamatkan khidmat tanpa mengikut undang-undang perburuhan negara.
Bagaimanapun katanya, majikan itu didapati ingkar sebelum pihaknya hampir melelongkan bengkel di lokasi di daerah Melaka Tengah itu.
“Syarikat itu didapati gagal membuat bayaran kepada bekas pekerjanya seperti diarahkan Mahkamah Buruh. JTK Melaka bersama Bailif Mahkamah Sesyen Melaka melaksanakan tindakan Writ Penyitaan dan Penjualan ke atas syarikat tersebut pada Rabu,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Khamis.
Mengulas lanjut beliau berkata, tindakan perlaksanaan untuk melevi dan melelong harta syarikat telah dilaksanakan di premis majikan terbabit dan perlaksanaan writ telah dijalankan pada jam 10 pagi.
Ujar beliau, syarikat tersebut akhirnya terpaksa akur dan menyelesaikan bayaran penuh perintah Mahkamah Buruh sebanyak RM23,493.26 kepada pekerja yang telah ditamatkan tanpa mengikut undang-undang perburuhan negara pada jam 12.30 tengah hari.
“Majikan di negeri ini diingatkan agar sentiasa mematuhi undang-undang perburuhan negara bagi mengelakkan tindakan penguatkuasaan dijalankan terhadap mereka,” katanya.