SHAH ALAM | Polis menahan dua lelaki dan dua wanita selepas disyaki terbabit dalam kegiatan penjualan sijil cuti sakit palsu di sekitar Shah Alam, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Selangor, Asisten Komisioner Azman Ali, berkata semua suspek berusia 22 hingga 35 tahun itu ditahan dalam serbuan di Seksyen 7, Seksyen 17 dan Taman Sri Muda, Shah Alam antara jam 10.30 malam kelmarin hingga 1.30 pagi semalam.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek bertindak sebagai ejen dan pembuat serta pencetak sijil cuti sakit berkenaan.

“Hasil serbuan, polis merampas 62 keping sijil cuti sakit palsu yang sudah siap dicetak, mesin cetak, komputer, telefon bimbit pelbagai jenama, kad mesin pengeluaran automatik bank, kertas bertulis jumlah pembayaran pelanggan dan sebungkus kertas A4 berwarna peach.

“Sindiket ini menjual sijil cuti sakit itu pada harga RM40 sekeping dan pembeli perlu memberikan butiran diri, tarikh untuk cuti sakit serta klinik mana yang diperlukan.

“Pembayaran perlu dibuat ke akaun sindiket dan ‘runner’ atau ejen akan menghantar sijil cuti sakit berkenaan kepada pembeli,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, sindiket itu dipercayai mula aktif sejak awal 2020 ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama susulan penularan COVID-19.

“Hasil semakan mendapati, semua suspek tidak memiliki rekod jenayah lalu dan mereka kini ditahan reman sehingga Jumaat bagi siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“JSJK Selangor ingin menasihatkan orang ramai tidak terpedaya dengan sindiket menjual sijil cuti sakit palsu untuk mengambil jalan mudah mengambil cuti.

“Mana-mana pihak sama ada hospital kerajaan, swasta atau syarikat yang pernah menerima sijil cuti sakit palsu disarankan untuk tampil membuat laporan polis bagi membantu siasatan,” katanya.

 

 

©