KUALA LUMPUR | AEON Co (Malaysia) Sdn Bhd telah memutuskan untuk menaikkan gaji minimum kepada RM1,500 bagi pekerja-pekerja Gred G berkuat kuasa 1 Januari lalu, lebih awal berbanding syor Kementerian Sumber Manusia yang diumumkan baru-baru ini.

Presiden Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC), Datuk Mohamed Shafie BP Mammal berkata, perkara itu telah dimaklumkan oleh Ketua Pegawai Sumber Manusia, Bahagian Sumber Manusia & Komunikasi Korporat AEON, Dr. Kasuma Satria Mat Jadi.

Kata beliau, Kesatuan Pengurus-Pengurus AEON Big (M) Sdn. Bhd., Kesatuan Pekerja-Pekerja AEON Big (M) Sdn. Bhd. dan Kesatuan PekerjaPekerja AEON Co. (M) Bhd. yang bergabung dengan UNI-MLC menyambut baik pengumuman tersebut dan menyifatkan “berita ini satu pengiktirafan kepada pekerja-pekerja bagi Gred G”.

“UNI-MLC bersama tiga kesatuan menzahirkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Shafie Shamsuddin, Ketua Pegawai Eksekutif/Pengarah Urusan AEON Group Malaysia dan Pengurusan Kumpulan Syarikat AEON di atas keprihatinan, kesejahteraan dan kebajikan AEON Warriors bagi Gred G.

“Syarikat AEON Co. telah memecahkan kebuntuan mengenai kemelut gaji minimum dan kini terbukti bahawa Syarikat AEON Co. membuka jalan dengan mengumumkan gaji minimum RM1,500 berkuat kuasa 1 Januari lalu,” kata beliau kepada WorkersTimes.

Mohamed Shafie berkata, ia menunjukkan bahawa ada majikan yang sanggup menaikkan gaji minimum bagi meringankan beban dialami oleh sesetengah pekerja, selain meningkatkan keprihatinan mereka.

“UNI-MLC berharap lebih banyak majikan akan berbuat demikian sebab ia sebahagian daripada tanggungjawab mereka menjaga kebajikan tenaga kerja masing-masing, terutama ketika pandemik COVID-19 sekarang.

Minggu lalu, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, pekerja-pekerja negara ini dijangka menikmati penetapan kadar gaji minimum yang baharu, pada nilai sekitar RM1,500 sebulan sebelum penghujung tahun ini.

Kata Saravanan, walaupun nilai sebenar kadar baharu itu belum dimuktamadkan, beliau positif perkara itu boleh direalisasikan selepas mendapat persetujuan Jemaah Menteri.

Katanya, secara peribadi beliau merasakan kadar gaji minimum baharu itu perlu diselesaikan secepat mungkin, namun ia tetap bergantung kepada keputusan Jemaah Menteri.

Kali terakhir gaji minimum dinaikkan adalah pada 1 Februari 2020, dengan kenaikan RM100 daripada RM1,100 ke RM1,200 sebulan, ketika pembentangan Bajet Tahun 2020.

Berdasarkan Perintah Gaji Minimum 2020, Seksyen 23 Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011, menyatakan kadar gaji minimum perlu dibayar kepada pekerja dalam mana-mana kawasan Majlis Bandaraya atau Majlis Perbandaran adalah sebanyak RM1,200 sebulan, RM46.15 sehari (enam hari bekerja dalam seminggu), RM55.38 sehari (lima hari) dan RM69.23 sehari (empat hari), manakala bayaran setiap jam adalah RM5.77.

Gaji RM1,100 sebulan terpakai untuk kawasan selain Majlis Bandaraya atau Majlis Perbandaran atau harian RM42.31 (enam hari bekerja dalam seminggu), RM50.77 (lima hari) dan RM63.46 (empat hari), manakala bayaran setiap jam adalah RM5.29.

Gaji minimum RM1,200 terpakai di 16 Majlis Bandaraya iaitu Johor Bahru, Iskandar Puteri, Alor Setar, Melaka Bersejarah, Pulau Pinang, Seberang Perai, Ipoh, Shah Alam, Petaling Jaya, Kuala Terengganu, Kuching Utara, Kuching Selatan, Miri, Kota Kinabalu, Kuala Lumpur dan Seremban.

Ia juga terpakai di 40 Majlis Perbandaran membabitkan enam di Johor, Kedah (empat), Kelantan (satu), Melaka (tiga), Negeri Sembilan (dua), Pahang (tiga), Perak (empat), Perlis (satu), Selangor (enam), Terengganu (dua), Sabah (tiga), Sarawak (empat) dan Putrajaya.

 

 

© Workers Times