Tular di media sosial, seorang pekerja keselamatan yang dikenali sebagai Murali Vengu berjaya mendapatkan tuntutan gaji kerja lebih masa (OT) daripada majikannya berjumlah RM58,000.

Menerusi perkongsian Arul di Facebook, dia yang telah bekerja dengan sebuah bengkel kereta kemalangan dan pusat tuntutan insurans, telah menfailkan tuntutan gaji OT, gaji cuti hari rehat dan juga gaji cuti hari kelepasan am terhadap majikannya pada bulan Oktober 2021.

Difahamkan, Murali seorang sahajalah yang menjaga keseluruhan stor bengkel yang menempatkan kereta-kereta kemalangan yang sedang melalui proses bayaran insurans.

Majikan bengkel tidak mengambil pekerja keselamatan tambahan. Maka dia diminta bekerja dari 7 malam sehinggalah pejabat bengkel tersebut buka pada jam 9 pagi pada hari keesokannya.

Walaupun dia sepatutnya hanya bertugas selama 12 jam, iaitu dari 7 malam sehingga 7 pagi, tetapi biasanya beliau diminta tunggu sehingga pekerja ofis masuk kerja pada jam 9 pagi. Maka dia bekerja sehingga 14 jam setiap hari.

Majikan akhirnya bersetuju membayar sebanyak RM58,000 kepada Murali sebagai amaun penyelesaian.

Tuntutan Murali sebenarnya melibatkan pelbagai komponen seperti tuntutan gaji lebih masa (OT) hari kerja biasa, hari rehat, hari kelepasan am, gaji kerja hari rehat dan gaji kerja hari kelepasan am.

Majikan pun mengaku bahawa bayaran gaji kerja lebih masa sememangnya tidak dibayar kepada Murali, maka mereka mencadangkan suatu penyelesaian dibincangkan tanpa melalui perbicaraan penuh.

Selepas rundingan beberapa kali di antara majikan dan pegawai, akhirnya majikan bersetuju membayar sebanyak RM58,000 kepada Murali sebagai amaun penyelesaian. Jumlah tersebut adalah lebih kurang bersamaan dengan RM1,600 sebulan gaji lebih masa untuk 3 tahun.

Seperti Murali, ada ramai lagi pekerja keselamatan yang ditipu tanpa dibayar gaji lebih masa, walaupun ianya jelas dinyatakan sebagai amaun yang perlu dibayar oleh majikan dalam Akta Kerja. Maka, lebih ramai lagi pekerja keselamatan harus memastikan bahawa hak mereka terbela dan kiraan gaji merangkumi bayaran gaji kerja lebih masa.

Rakyat pekerja hanya dapat mengajar majikan-majikan seperti ini, jika lebih ramai lagi yang menfailkan kes dan mengheret mereka ke Mahkamah Buruh. Tindakan ini amat penting, demi memastikan industrI pengawal keselamatan ini menghentikan penindasan dan perampasan hasil titik peluh pekerja tanpa membayar gaji OT.

 

 

©