KUALA LUMPUR 3 Okt | Institut Pengurusan Sumber Manusia Malaysia (MIHRM) akan menganjurkan persidangan dan pameran HRITECH 2022, yang pertama seumpamanya di Malaysia – pada 22 hingga 23 November di Sunway Pyramid Convention Centre.
Membawa tema “Memperkasa Pengurusan Sumber Manusia menerusi Inovasi Disruptif”, persidangan selama dua hari itu akan membincangkan peluang dan cabaran dalam pendigitalan pengurusan sumber manusia dan pelbagai penyelesaian teknologi.
Lebih 30 penceramah terdiri daripada pemain industri, perintis serantau dan pakar teknologi akan berkongsi pandangan dan pengalaman mereka bagi menakrif semula sumber manusia menerusi empat tonggak, termasuk kepimpinan, budaya kerja, teknologi dan perhubungan bakat.
Persidangan ini akan menarik lebih 500 peserta, termasuk pengamal pengurusan sumber manusia, pemilik syarikat, eksekutif C-suite, pengurus kanan syarikat, pengasas start-up dan usahawan.
Presiden MIHRM, Simon Benjamin berkata, HRITECH 2022 menyediakan landasan untuk mendapat perspektif baru tentang transformasi digital dan corak pengurusan sumber terkini.
“Ia juga bagi meneroka idea-idea menarik, mempelajari amalan terbaik industri dan strategi tempat kerja, mencuba teknologi terkini dan menjalin hubungan dengan pemimpin pengurusan sumber manusia terkemuka dan mereka yang seangkatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, meskipun teknologi pengurusan sumber manusia telah terkedepan, pemain industri kecil sederhana (IKS) tempatan sering berasa tergugat dengan penyelesaian teknologi yang sedia ada sehingga mengganggu transformasi digital mereka.
Sehubungan itu, MIHRM dengan kerjasama Malaysian Digital Economy Corporation (MDEC) akan mempamerkan pelbagai teknologi dan penyelesaian pengurusan sumber manusia tempatan di pameran tersebut.
Pengunjung berpeluang mendapat diskaun menarik dan konsultansi percuma dari badan professional itu, pemain industri dan pembekal penyelesaian.
Bayaran pendaftaran masuk HRiTECH 2022 adalah RM699 (untuk ahli MIHRM) dan RM1,099 (untuk bukan ahli), tidak termasuk 6% cukai jualan dan perkhidmatan (SST). Mereka yang berminat digalakkan untuk mendaftar menerusi https://hritech.asia/. – DagangNews.com