KUALA LUMPUR | Kementerian Sumber Manusia menegaskan majikan tidak dibenarkan untuk mengenakan sebarang penalti atau memotong gaji pekerja yang tidak hadir bekerja kerana keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Menterinya, Datuk Seri M Saravanan, berkata majikan yang tidak mematuhi peruntukan di bawah Subseksyen 25(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5) boleh didakwa dan didenda RM5,000 atau penjara setahun sekiranya disabitkan kesalahan.

“Kementerian menggesa semua majikan dalam sektor swasta memberikan kebenaran kepada pekerja bagi menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi selaras peruntukkan di bawah Subseksyen 25(1) Akta 5.

“Mereka (majikan) perlu berbincang dengan pekerja pilihan pemberian ‘time-off’, hari pelepasan berganti atau cuti tahunan bagi tujuan itu.

“Pemberian time off boleh diberikan kepada pekerja yang mengundi di kawasan berhampiran, manakala mereka yang mengambil masa untuk ke pusat pengundian masing-masing dibolehkan mengambil pelepasan berganti atau cuti tahunan yang perlu diberikan oleh majikan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mencadangkan supaya kerajaan mengisytiharkan cuti khas pada 18 November iaitu sehari sebelum PRU15.

Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, ini kerana ramai individu yang mengundi bukan di lokasi bekerja dan terdapat dalam kalangan mereka terpaksa melakukan perjalanan lebih daripada empat jam bagi menunaikan tanggungjawab untuk mengundi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 19 November ini sebagai hari pengundian bagi PRU15.

Sementara hari penamaan calon pula ditetapkan pada 5 November, manakala hari pengundian awal pada 15 November.

Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah juga akan diadakan serentak bagi mengisi kekosongan kerusi berkenaan.

 

© berita harian vector logo – Brand Logo Collection