KUALA LUMPUR | Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar memberi amaran kepada majikan tidak mengabaikan kebajikan dan meninggalkan pekerja asing yang dipohon menerusi Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing.

Beliau berkata, pihaknya menerima aduan ada warga Bangladesh yang dibawa masuk menerusi pelan itu tidak diambil majikan, sebaik mereka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

“Kementerian Sumber Manusia (KSM) juga menerima laporan daripada perwakilan diplomatik Bangladesh mengenai insiden pekerja asing tiada pekerjaan setibanya di negara ini, sedangkan majikan sudah diberi kelulusan kuota pekerja asing,” katanya pada sidang media di Parlimen.

Sivakumar berkata, kes itu berlaku dua minggu lalu membabitkan 117 pekerja dari Bangladesh dan siasatan sedang dijalankan pihaknya mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 serta Akta Kerja 1955.

Katanya, pelbagai alasan diberikan majikan, termasuk mereka belum bersedia menerima pekerja asing, walaupun mereka yang membuat permohonan sebelum ini.

“Saya beri amaran keras kepada semua majikan, sekiranya memohon pekerja asing, pastikan kebajikan mereka dijaga. Kita bawa mereka untuk bekerja…jangan bawa mereka dan biarkan pekerja ini begitu saja.”

Mengenai warga Bangladesh yang ditinggalkan itu, Sivakumar berkata, KSM akan berusaha menempatkan mereka dengan majikan yang memerlukan tenaga kerja.

Beliau berkata, penguatkuasaan akan dilaksanakan ke atas majikan bagi memastikan tiada lagi pelanggaran terhadap pelan kelonggaran itu.

“Mungkin dalam satu tempoh atau sekurang-kurangnya selepas enam bulan (daripada pengambilan pekerja asing), kita akan periksa untuk pastikan semua bentuk kebajikan, termasuk tempat tinggal mereka selesa dan sebagainya.

“Tetapi dalam tempoh enam bulan itu, jangan kita biarkan begitu saja (tidak jaga kebajikan pekerja). Majikan kena pastikan kebajikan pekerja itu diberi perhatian serius.”

 

 

©FMT News