PUNCAK ALAM | Majlis Konvokesyen Akademi Vokasional McDonald’s Kali Ke-4 telah diadakan hari ini, meraikan 427 graduan yang telah berjaya menamatkan latihan di bawah Program Perantis Vokasional McDonald’s. Majlis yang gilang-gemilang tersebut telah diadakan di Dewan DK500 yang terletak di UiTM Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam.

“Saya sangat gembira dapat sama-sama meraikan kejayaan anak-anak muda ini. Bagi saya, merekalah penyambung legasi kecemerlangan McDonald’s yang sangat mengutamakan kualiti dalam segenap aspek. Seiring agenda nasional, Program Perantis Vokasional McDonald’s merupakan inisiatif McDonald’s bagi memperkasa belia di negara ini, selain mewujudkan tenaga kerja mampan dan berkemahiran tinggi dalam bidang perkhidmatan makanan. Ia juga merupakan cara kami menyumbang kepada masyarakat dengan menyediakan peluang pendidikan dan kerjaya kepada mereka yang memerlukan, sekaligus mengukuhkan ekonomi negara,” kata Dato’ Azmir Jaafar, Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan, McDonald’s Malaysia

Program Perantis Vokasional McDonald’s mengambil masa selama 18 bulan, yang menggabungkan 70 peratus latihan praktikal di restoran McDonald’s dan 30 peratus pembelajaran teori di dalam kelas. Program ini diiktiraf oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia (KSM) di bawah Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN). Sebaik sahaja tamat program, belia akan menerima Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3, dan boleh memilih untuk bekerja di McDonald’s atau mana-mana syarikat perkhidmatan makanan di negara ini.

“Sejak pertama kali diperkenalkan pada tahun 2018, lebih 95 peratus belia yang tamat program ini memilih untuk membina kerjaya di McDonald’s. Ramai antara mereka telahpun berjaya meningkat naik sebagai salah seorang pemimpin di restoran masing-masing, dan saya yakin lebih banyak kejayaan besar boleh dicapai seiring dengan pengalaman dan kesungguhan mereka,” tambah Dato’ Azmir.

Lebih 4,000 belia telah dan sedang mengikuti program ini sejak ia diperkenalkan pada tahun 2018. Belia yang menyertai program ini ditaja sepenuhnya oleh McDonald’s melibatkan yuran pengajian, elaun bulanan, tempat tinggal, makan minum, insurans dan faedah perubatan serta perlindungan PERKESO dan caruman KWSP, melibatkan sekitar RM40,000 untuk seorang perantis sepanjang mengikuti program ini.

Dalam majlis sama, satu sesi penyampaian surat tawaran Diploma Kemahiran Malaysia (DKM Tahap 4) dan Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM Tahap 5) turut diadakan untuk 18 alumni Program Perantis Vokasional McDonald’s. Kedua-dua program pengajian ini bukan sahaja meningkatkan taraf pendidikan belia yang terlibat, bahkan mengukuhkan

pengetahuan dan kemahiran mereka dalam bidang perkhidmatan makanan. Selepas tamat pengajian Diploma, semestinya peluang kerjaya dalam industri ini lebih meluas dan mereka juga boleh memilih untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

Sehingga kini, terdapat lebih 350 restoran McDonald’s di seluruh negara dengan lebih 23,000 kakitangan. Sebagai sebahagian daripada Visi McDonald’s Malaysia 2026, 500 restoran McDonald’s akan dibuka di seluruh Malaysia dengan jangkaan lebih 50,000 peluang pekerjaan, termasuk lebih 10,000 perantis baharu di bawah Program Perantis Vokasional McDonald’s, menjelang 2026.

Bagi memastikan kualiti perkhidmatan McDonald’s sentiasa berada di tahap terbaik, McDonald’s akan memperuntukkan lebih RM10 juta untuk program pembangunan bakat dan kemahiran melibatkan seluruh warga kerjanya di pelbagai peringkat jawatan. 

Selain Program Perantis Vokasional McDonald’s, restoran khidmat segera ini juga mempunyai inisiatif pembangunan bakat lain seperti Program Perantis Pengurusan (MAP), Program Kebolehpasaran Kerja Graduan (GEP), Program Internship (IP), khusus untuk pelajar-pelajar dan graduan universiti.

Untuk sesiapa yang berminat menyertai Program Perantis Vokasional McDonald’s, layari bahagian kerjaya di https://www.mcdonalds.com.my/ atau emel kepada MY-Recruitment@my.mcd.com