PETALING JAYA | Sejumlah 60% pekerja sepenuh masa di Asia Tenggara lebih menggemari fleksibiliti kaedah bekerja empat hari seminggu, menurut tinjauan dibuat syarikat pengurusan pengalaman, Qualtrics.

Di Malaysia, kecenderungan fleksibiliti dilihat lebih tinggi sedikit, iaitu 62%, berhubung jumlah hari bekerja lebih singkat.

“Dengan organisasi Asia Tenggara terus memperhalusi cara bekerja selepas dua tahun bekerja secara jarak jauh dan pemimpin di Malaysia masih berbahas mengenai kebolehlaksanaan amalan bekerja empat hari seminggu, dapatan Qualtrics menunjukkan kepentingan kejayaan menjajarkan program baharu yang diterima pakai dengan keperluan dan jangkaan pekerja.

“Bagi satu pertiga pekerja di Asia Tenggara (33%), fleksibiliti bermakna kebebasan menentukan jam bekerja. Selebihnya mentakrifkan fleksibiliti sebagai keupayaan bekerja dari mana-mana lokasi (24%), memilih hari mereka bekerja (19%) atau dinilai berdasarkan prestasi, bukan bilangan jam bekerja (18%). Responden dari Malaysia menyuarakan pilihan yang sama,” kata kajian itu.

Soalan mengenai kaedah bekerja empat hari seminggu hanya dijawab oleh pekerja sepenuh masa membabitkan 2,846 responden, termasuk 557 dari Malaysia.

Kajian itu juga mengenal pasti pekerja Malaysia percaya kaedah bekerja empat hari akan meningkatkan keseimbangan kerja-kehidupan, kesihatan mental, produktiviti dan meningkatkan kesetian terhadap majikan dan kurang sanggup dipotong gaji.

“Ramai responden di Malaysia menyatakan kebimbangan utama berhubung masa bekerja lebih panjang (68%), kekecewaan pelanggan (62%) dan prestasi syarikat (65%),” katanya.

Bulan lalu, dilaporkan syarikat dan kerajaan merentasi Asia secara berhati-hati menguji idea bekerja empat hari seminggu mengambil kira tempoh kerja lebih lama mungkin menjejaskan pekerja, selain kekhuatiran berhubung penurunan produktiviti.

Qualtrics turut mendedahkan dua kunci utama kejayaan cara baharu bekerja perlu menumpukan kepada pelaksanaan yang mengutamakan kesihatan dan kesejahteraan serta memastikan pekerja berjaya dalam persekitaran fizikal dan secara jarak jauh.

“Berbeza dengan negara lain di rantau ini, 30% responden rakyat Malaysia beranggapan bekerja secara jarak jauh memberi kesan positif kepada kesihatan mental, berbanding 22% negatif,” katanya.

Kajian tersebut dilakukan pada Mei dan melibatkan 3,415 responden terdiri daripada pekerja sepenuh masa atau separuh masa dalam pelbagai industri di Malaysia, Indonesia, Thailand, Filipina dan Singapura.

 

 

 

©FMT News