KUALA LUMPUR: “Saya tiada pilihan, terpaksa kerja dengan gaji setaraf Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) walaupun tidak sesuai dengan kelulusan saya,” kata Amrina Yusof, 28, pemegang Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan dari sebuah universiti.

Dia berkata, dia puas berusaha memohon pekerjaan sesuai sejak dua tahun lalu, namun nasib masih tidak menyebelahinya.

“Saya sudah menghantar 30 resume di banyak syarikat.

“Selama ini sudah enam kali pergi temu duga termasuk di agensi kerajaan namun nasib masih tidak menyebelahi saya,” katanya.

Menurutnya, enggan menjadi penganggur dia sebaliknya menerima tawaran kerja sebagai kerani di sebuah syarikat perhotelan di Kuching, Sarawak dengan pendapatan yang tidak setaraf dengan kelayakan.

“Selepas konvokesyen pada 2017, saya terus bekerja sebagai kerani sebuah hotel dengan gaji yang ditawarkan sebanyak RM1,100.

“Gaji diterima tidak berbaloi dengan kelayakan saya sebagai siswazah, tetapi apa boleh buat saya perlu wang untuk sara hidup dan membayar pinjaman Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN),” katanya.

Kelmarin, Laporan Tahunan 2018 Bank Negara Malaysia (BNM) mendedahkan gaji permulaan bagi kebanyakan siswazah baharu di negara ini menurun sejak 2010 selepas mengambil kira faktor inflasi.

Selain itu, Kajian Institut Penyelidikan Khazanah mendapati 95 peratus pekerja muda berada dalam kategori pekerjaan tidak memerlukan kemahiran manakala 50 peratus pekerja membuat kerja berkemahiran rendah secara manual mempunyai kelayakan lebih tinggi daripada yang diperlukan oleh jenis pekerjaan sedemikian.

Sementara itu, graduan komunikasi Universiti Sains Malaysia (USM) Nur Liyana Mohd Noor, 25, juga terpaksa bekerja dalam bidang bukan pilihannya demi kelangsungan hidup selain menimba pengalaman.

“Saya perlu wang untuk menyara hidup dan menyimpan untuk masa depan tetapi belum ada rezeki bekerja dalam bidang kelayakan.

“Jadi buat masa ini, saya bekerja sebagai kru perkhidmatan sebuah syarikat makanan segera di Seri Manjung, Perak dengan gaji RM2,000 termasuk komisyen dan kerja lebih masa.

“Saya anggap ini pengalaman, malah tidak malu walaupun dalam skop tugasan ini saya perlu melayan dan menyediakan makanan pelanggan, menjadi juruwang serta membersihkan ruang niaga,” katanya.

 

©