PETALING JAYA | Mahkamah Perusahaan membenarkan sebuah syarikat elektronik di Pulau Pinang menggunakan Covid-19 sebagai alasan menolak tuntutan pekerja untuk kenaikan gaji 10%.

Keputusan mahkamah itu membimbangkan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) terhadap kemungkinan majikan lain turut menggunakan pandemik untuk menafikan pekerja kenaikan gaji berpatutan.

Dalam penghakiman 26 Nov lalu, Pengerusi Mahkamah Perusahaan Pulau Pinang, Dominic Selvam, memutuskan Panasonic Automative Systems tidak perlu meluluskan kenaikan gaji 10% yang dituntut pekerja.

Dominic menerima hujah syarikat bahawa ia terkesan akibat pandemik Covid-19, justeru tidak perlu melayani tuntutan berkenaan, menurut ahli majlis MTUC, A Sivananthan.

Perkara itu antara isu yang dirujuk ke Mahkamah Perusahaan ekoran kegagalan Kesatuan Pekerja Elektronik Wilayah Utara dan Panasonic Automative Systems memeterai perjanjian bersama.

Sivananthan berkata pihak kesatuan menerima hujah bahawa banyak syarikat terjejas akibat Covid-19 tetapi “Pengerusi Mahkamah gagal meneliti dokumen berkaitan untuk memastikan Panasonic Automative benar-benar terjejas,” kata Sivananthan.

Beliau menegaskan Dominic sepatutnya mewajibkan Panasonic Automative berunding semula dengan pekerja mengenai kenaikan gaji 10% itu apabila wabak Covid-19 terkawal dan perniagaan syarikat pulih sedia kala.

“Pendirian kami ialah Covid-19 merupakan isu kesihatan sementara. Ekonomi terjejas tetapi bukan untuk selama-lamanya. Sekiranya, pandemik berlarutan, kami bimbang pekerja akan terus dinafikan kenaikan gaji jika mahkamah terus mengguna pakai keputusan ini,” kata Sivananthan.

Sivananthan, yang juga penasihat kesatuan pekerja elektronik berkenaan, bimbang keputusan Mahkamah Perusahaan itu akan mendorong syarikat lain menggunakan pandemik Covid-19 untuk menafikan pekerja hak memperoleh kenaikan gaji adil, meskipun mencatat keuntungan.

© FMT News