SHAH ALAM | Seorang bekas Ketua Bahagian Sumber Manusia Puspakom Sdn Bhd didakwa di Mahkamah Sesyen Jenayah Shah Alam pada Khamis atas dua pertuduhan termasuk pertuduhan pilihan memalsukan invois bernilai RM52,500 lima tahun lalu.

Tertuduh, Noor Marliza Ishak, 48, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim, Rihaida Rafie.

Tertuduh didakwa memalsukan dokumen invois Kezens Gale bernilai RM52,500 di Pejabat Puspakom, Wisma DRB Hicom, Seksyen U1 pada 24 Jun 2016.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam didakwa melakukan perbuatan tersebut dengan tujuan menipu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, dalam pertuduhan pilihan pula, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 465 akta sama yang mana jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Dalam prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Zander Lim Wai Keong menawarkan ikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh kemudiannya memohon ikat jamin terhadapnya dikurangkan berikutan tidak mempunyai pendapatan yang cukup untuk membayarnya.

Kes disebut semula pada 27 Januari ini.

© logo