KUALA LUMPUR | Sebanyak 64 majikan didakwa di Mahkamah Majistret dengan 96 pertuduhan kerana gagal mematuhi Akta-akta yang dikuatkuasakan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Wilayah Persekutuan (WP) Kuala Lumpur bagi tempoh Januari hingga Disember tahun lalu.

Pengarahnya Mohd Asri Abd Wahab pada Rabu berkata daripada jumlah itu, 46 majikan mengaku bersalah dan didenda RM69,600 keseluruhannya manakala 13 majikan dikompaun atas pelbagai kesalahan melanggar peruntukan undang-undang di bawah Akta Kerja 1955.

Beliau berkata operasi dan serbuan dilakukan berikutan aduan yang diterima daripada pelbagai sumber contohnya pengadu hadir sendiri, melalui telefon, ibu pejabat, media dan juga sumber-sumber lain.

“Di antara kesalahan yang sering dilakukan majikan ialah membuat potongan gaji tanpa kebenaran Ketua Pengarah, membayar gaji lewat, gagal menyediakan kontrak pekerjaan secara bertulis dan tidak memberikan penyata gaji kepada pekerja.

“Ia juga termasuk, gagal membayar kerja lebih masa untuk kerja hari biasa, hari rehat dan kelepasan am, gagal melaporkan penggajian pekerja asing dan gagal mematuhi prosedur membayar gaji secara tunai kepada pekerja,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd Asri berkata dalam tempoh yang sama juga JTK telah melaksanakan pemeriksaan berkala ke atas 2,257 majikan yang beroperasi di WP bagi memastikan pematuhan terhadap semua perundangan perburuhan negara.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 451 notis pematuhan dikeluarkan kepada majikan terbabit. Tindakan pemantauan sentiasa dilakukan dan mana-mana majikan yang masih gagal mematuhi notis itu akan dikenakan tindakan tegas termasuk pendakwaan atau kompaun,” tambahnya.

Beliau berkata sehingga Disember 2018, jabatan berkenaan menyelesaikan 1,570 kes-kes tuntutan pekerja yang dikendalikan sepanjang tahun lalu dan sejumlah RM982,105 telahpun dibayar kepada pekerja yang membuat tuntutan.

Mohd Asri berkata gerakan operasi secara besar-besaran akan dilakukan tahun ini bagi memburu majikan yang gagal mematuhi Perintah Gaji Minimum 2018 yang diwartakan baru-baru ini.

Melalui perintah itu jumlah gaji pokok minimum ditetapkan RM1,100 sebulan berkuat kuasa Jan lepas. – BERNAMA

©