KUALA LUMPUR: Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Semenanjung Malaysia, Kementerian Sumber Manusia, melancarkan Operasi Pemeriksaan Pematuhan Gaji Minimum serentak di seluruh negara, hari ini.

Pengarah Standard Perburuhan JTK, Mohd Asri Abdul Wahab, berkata operasi diadakan bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) itu memfokus kepada pematuhan gaji minimum RM1,100 sebulan oleh majikan seperti ditetapkan bawah Perintah Gaji Minimum (Pindaan) 2018.

“Operasi julung kali diadakan itu akan berlangsung selama enam hari hingga Ogos depan, iaitu hari ini dan esok, dan dua minggu sekali pada Julai serta Ogos.

“Melalui operasi berkenaan, pegawai penguat kuasa daripada ketiga-tiga agensi akan ke organisasi majikan yang disyaki tidak mematuhi perintah gaji minimum, berdasarkan senarai dibekalkan KWSP.

“Setiap agensi akan membuat pemeriksaan mengikut prosedur operasi standard (SOP). JTK akan melihat rekod gaji sama ada mematuhi perintah gaji minimum atau sebaliknya, selain meneliti aspek pematuhan lain oleh majikan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Operasi Pemeriksaan Pematuhan Gaji Minimum di Menara PERKESO, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Cawangan Penguatkuasaan, Pejabat Timbalan Eksekutif (Operasi) PERKESO, Hairiri Harun, dan Pengurus Kanan Seksyen Operasi, Jabatan Penguatkuasaan KWSP, Julpadya Sooma.

Perintah Gaji Minimum (Pindaan) 2018 dikuatkuasakan mulai 1 Januari lalu yang memperuntukkan kadar gaji minimum seragam di seluruh negara.

Mohd Asri berkata, kerajaan mengambil langkah berhemah untuk kepentingan majikan dan pekerja supaya kadar gaji minimum ditetapkan tidak menjejaskan industri sehingga memberi implikasi ke atas penggajian seperti pembuangan pekerja akibat ketidakmampuan majikan membayar gaji minimum berkenaan.

Beliau turut menasihati pekerja yang berdepan masalah dengan majikan seperti gaji tidak atau lambat dibayar, kontrak perkhidmatan dihentikan atau diberhentikan tanpa sebab supaya membuat aduan kepada pejabat JTK terdekat.

©