TINDAKAN dua pekerja kilang menghantar sijil cuti sakit palsu selama tujuh hari kepada majikannya mengundang padah selepas penipuan mereka itu berjaya dikesan sebelum polis membongkar sindiket pemalsuan sijil itu.

Dalam kejadian semalam, kedua-dua mereka yang juga pekerja kilang bertindak menghantar sijil cuti sakit (MC) palsu ke jabatan sumber manusia tempat mereka bekerja sebelum majikannya mendapati ia mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, susulan itu majikannya membuat laporan polis selepas membuat pemeriksaan di hospital yang mengeluarkan sijil berkenaan.

Katanya, hasil siasatan polis, pihaknya mendapati sijil itu dikeluarkan sebuah hospital kerajaan di Kepala Batas sebelum pihak syarikat berkenaan yang membuat pemeriksaan mendapati nombor siri itu tidak wujud.

“Selain itu juga, majikan diberitahu pihak hospital bahawa doktor yang mengesahkan MC berkenaan juga tidak pernah berkhidmat di hospital itu.

“Polis yang menahan suspek kemudian berjaya membongkar sindiket pemalsuan MC didalangi dua lelaki tempatan,” katanya.

Menurutnya, kedua-dua suspek berusia 30 dan 34 tahun, masing-masing berperanan mencari pelanggan dan mencetak MC palsu.

Katanya, difahamkan, suspek menjual MC berkenaan dengan harga antara RM20 sehingga RM100 bergantung kepada jumlah hari.

Katanya, suspek ditahan sebelum direman bagi siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

 

©