Seorang lelaki yang memperoleh keuntungan sehingga RM5,000 sebulan dengan menjual sijil cuti sakit palsu ditahan polis bersama-sama seorang ejennya dalam dua serbuan berasingan semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Noorzainy Mohd Noor yang mengesahkan penangkapan itu hari ini berkata lelaki berumur 34 tahun itu ditahan di Penaga kira-kira pukul 3.00 petang, sejam selepas ejennya, seorang mekanik, 30, diberkas.

Menurutnya penangkapan itu dibuat susulan laporan polis yang dibuat pengurus sumber manusia sebuah syarikat swasta di Sungai Puyu, semalam selepas mendapati sijil cuti sakit yang dikemukakan dua orang pekerja syarikat itu mencurigakan.

“Pengurus itu menerima dua sijil cuti sakit daripada dua pekerjanya yang dikeluarkan oleh sebuah hospital kerajaan dan turut mendapat pengesahan daripada pegawai perubatan namun syarikat tersebut mengesyaki ia adalah sijil sakit palsu,” katanya di Kepala Batas, Kedah.

Beliau berkata pihak syarikat itu telah membuat pengesahan dengan pihak hospital dan mendapati bahawa nombor siri pada sijil cuti sakit tersebut adalah tidak wujud dan pegawai perubatan yang mengesahkan sijil cuti sakit tersebut juga tidak berkhidmat di hospital tersebut.

Noorzainy berkata siasatan awal polis telah membawa kepada penangkapan mekanik itu yang bekerja di syarikat berkenaan sebelum memperolehi maklumat lanjut dan menahan dalang utama kes itu di Penaga.

“Siasatan mendapati lelaki kedua yang menganggur itu merupakan dalang utama menjalankan kegiatan menjual sijil sakit palsu dan dia dipercayai mencetak sijil-sijil sakit tersebut daripada internet sebelum menjualnya kepada ejen-ejennya,” katanya.

Suspek kedua ini juga dikatakan menjual setiap sijil sakit palsu berkenaan dengan harga RM10 kepada ejen-ejennya yang dipercayai bekerja di kilang-kilang sekitar Daerah SPU dan Seberang Perai Tengah dan ejen-ejen ini pula menjualnya kepada pekerja-pekerja lain pada harga di antara RM15 dan RM20 setiap satu.

“Siasatan juga mendapati dalang tersebut menjalankan kegiatan berkenaan sejak setahun lepas dan dia dipercayai mampu mengaut keuntungan sehingga RM5,000 setiap bulan,” katanya.

Katanya kedua-dua lelaki itu kini direman selama empat hari bagi siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan polis juga sedang mengesan ejen-ejen lain yang menjual sijil sakit palsu berkenaan. – Bernama

©