KUALA LUMPUR | Kementerian Sumber Manusia merancang supaya 1.4 juta suri rumah di negara ini didaftarkan untuk perlindungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Menterinya, M Kulasegaran, berkata setakat ini, usaha itu sedang di peringkat menyediakan undang-undang berkaitan, selain mendapatkan maklum balas lanjut daripada pihak berkepentingan.

Katanya, ia adalah beberapa pembaharuan yang akan dilaksanakan kementerian itu bagi menambah baik Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969.

“Kita sudah mula berbincang dengan pihak berkepentingan. Kita akan dapatkan pandangan, bukan saja bagi meluaskan caruman PERKESO ini untuk semua pekerja tetapi juga ada hala tuju baharu.

“Satu daripadanya adalah kita bercadang supaya setiap suri rumah mendapat perlindungan. Ini dalam proses menyediakan undang-undang tertentu untuk memberi manfaat kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Johari Abdul (PH-Sungai Petani) yang bertanya sama ada kementerian berhasrat untuk meluaskan perlindungan PERKESO kepada pencarum yang meninggal dunia di luar waktu bekerja.

Kulasegaran berkata, sehingga Mac lalu, sebanyak 7.8 juta pekerja mencarum dengan PERKESO yang memberi perlindungan kepada pencarum termasuk manfaat kematian di luar masa kerja.

“Skim keilatan PERKESO menyediakan perlindungan keselamatan sosial 24 jam kepada pekerja daripada keilatan atau kematian akibat sebarang sebab yang tidak berkaitan dengan pekerjaannya.

“Bagi kes kemalangan di luar masa kerja termasuk kes kematian, orang berinsurans layak mendapat faedah seperti pencen ilat, bantuan ilat, elaun layanan sentiasa, pencen penakat termasuk faedah pengurusan mayat bagi kes membabitkan kematian tertakluk kepada syarat kelayakan tertentu,” katanya.

Menjawab soalan Datuk Mohd Nizar Zakaria (BN-Parit) berhubung usaha kerajaan untuk meningkatkan kesedaran pemandu teksi bagi mencarum PERKESO, beliau berkata, terdapat akta yang mewajibkan perkara itu, namun sehingga kini tidak sampai 10 peratus pemandu teksi yang mencarum PERKESO.

 

©