SIKAP menganggap sesuatu insiden kemalangan dan penyakit akibat kemalangan sebagai perkara biasa atau ‘tidak apa’ perlu diubah dalam kalangan generasi masa kini.

Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran berkata, langkah itu dalam usaha menzahirkan wawasan sifar kemalangan dan penyakit akibat pekerjaan.

“Berdasarkan statistik tahun lalu, jumlah kemalangan di tempat kerja dan penyakit akibat pekerjaan dilaporkan kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) meningkat 72,682 kes berbanding tahun sebelumnya 69,986 kes manakala tahun ini sehingga Mei, 32,294 kemalangan dilaporkan.

“Selain itu, daripada tiga kematian pekerja dilaporkan kepada PERKESO dalam sehari, dua daripadanya adalah akibat kemalangan ulang-alik ke tempat kerja manakala satu kemalangan di tempat kerja,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Pelancaran Vision Zero Malaysia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di Putrajaya hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, semua pihak berkepentingan diseru memulakan tindakan dan mendidik generasi muda iaitu kemalangan boleh dicegah dan ia tidak sepatutnya diterima sebagai satu kebiasaan.

Pada masa sama, Kulasegaran berkata, Vision Zero bukan saja berkenaan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja malah ia menyeluruh serta membabitkan semua aspek dalam kehidupan termasuk kesejahteraan.

“Inilah masa kepada semua agensi kerajaan mempunyai idea sama dalam mengurangkan kecacatan dan kematian daripada kemalangan dan penyakit akibat kemalangan.

“Kita perlu mensasarkan sifar morbiditi daripada penyakit tidak berjangkit, sifar kepayahan daripada kecacatan dan sifar bertoleransi daripada tingkah laku berisiko tinggi,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini, 170 syarikat di negara ini sudah bersetuju mengamalkan Vision Zero di organisasi masing-masing dalam mencegah kemalangan dan penyakit akibat kemalangan sekali gus menggalakkan lebih banyak lagi syarikat terbabit sama.

Mengulas lanjut, Kulasegaran berkata, Vision Zero adalah satu transformasi aspek pencegahan yang menggabungkan elemen keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan yang diperkenalkan Persatuan Keselamatan Sosial Antarabangsa (ISSA) serta bersandarkan prinsip iaitu kemalangan boleh dicegah dan tidak sepatutnya diterima sebagai kebiasaan.

Katanya, ia hendaklah diamalkan di semua peringkat dan tidak tertumpu hanya di sektor pekerjaan selain mesti menjadi amalan dalam komuniti seperti sekolah dan pusat pengajian tinggi.

© Laman depan