TAPAH | “Lebih baik kita ada peluang pekerjaan dengan gaji yang rendah daripada tiada kerja,” ujar Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M.Saravanan ketika mengulas mengenai isu pengangguran yang berlaku ketika ini akibat pandemik COVID-19.

Katanya lagi, semua golongan termasuk profesional yang kehilangan pekerjaan wajar merebut apa sahaja peluang ketika ini memandangkan keadaan ekonomi yang tidak menentu.

“Saya menasihatkan kepada semua warga Malaysia terima sajalah apa juga pekerjaan, walaupun ada pemotongan gaji sebab keadaan hari ini luar biasa.

“Lebih baik kita ada peluang pekerjaan dengan gaji yang rendah daripada tiada kerja, dengan program-program dan rancangan khas yang dijalankan oleh kerajaan, saya bagi jaminan keadaan akan beransur pulih.

“Tetapi sehingga keadaan berubah, kita perlu berpegang kepada apa jua peluang pekerjaan sedia ada, walaupun ada juga keadaan mengurangkan gaji dan sebagainya… tetapi ini hanya sementara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Go TVET Orang Asli di Dewan Merdeka, di sini pada Sabtu.

Hari ini media melaporkan, kadar pengangguran negara menurun sebanyak 0.4 peratus kepada 4.9 peratus, Jun lalu berbanding 5.3 peratus pada Mei.

Berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan, pengangguran pada Jun ialah 773,200 orang berbanding 826,100 orang pada Mei.

 

 

©