KUALA LUMPUR: Sebuah badan pemerhati dan pengurusan anti rasuah mengingatkan pengarah syarikat untuk melindungi diri mereka daripada sebarang arahan tidak beretika daripada menteri.

Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC) Abu Kassim Mohamed berkata, kakitangan syarikat juga perlu bersuara jika ketua mereka melakukan kesalahan.

Katanya, seorang menteri mungkin kadangkala membuat keputusan atas kepentingan CEO syarikat tertentu dan perkara itu pernah berlaku sebelum ini.

“Kalau ada kesalahan, sila maklum kepada menteri untuk kemuka arahan secara bertulis supaya anda boleh maklumkan kepada ahli lembaga pengarah,” katanya merujuk Seksyen 17A Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) (Pindaan) 2018.

Akta itu yang berkuatkuasa 1 Jun, membolehkan mana-mana syarikat korporat didakwa atas kesalahan rasuah.

“Letakkan arahan dalam minit mesyuarat dan nyatakan anda menolaknya. Itu akan menjadi pembelaan anda,” katanya dalam forum bertajuk “Ke arah mewujudkan negara bebas rasuah” anjuran Institut Integriti Malaysia hari ini.

“Tanggungjawab di tangan anda melainkan perkara itu jelas merupakan tanggungjawab menteri,” katanya.

Beliau berkata, terdapat keperluan penyediaan minit mesyuarat atau sebarang bentuk komunikasi antara pegawai dan kakitangan dalam sektor swasta bagi melindungi mereka daripada disabitkan dalam akta berkenaan.

Abu Kassim yang juga bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM berkata, sejak sedekad lalu sektor perniagaan memainkan alasan sama berulang kali yang mereka perlu merasuah pegawai kerajaan untuk mendapatkan projek dan kontrak.

Melalui Seksyen 17A, beliau berkata, agensinya akan cuba mempromosikan budaya baru bagi memastikan semua peringkat bertanggungjawab terhadap integriti dalam sektor awam dan swasta.

Beliau mengingatkan syarikat untuk memiliki polisi jelas dalam aspek penerimaan hadiah.

“Kami menentang mana-mana pegawai menerima hadiah. Perbuatan itu boleh disabitkan dengan Seksyen 17A.”

Beliau berkata, pengurusan atasan perlu komited untuk meningkatkan integriti syarikat, dengan tawaran kenaikan pangkat perlu berdasarkan perkara itu.

“Namun, kajian menunjukkan pengurusan peringkat pertengahan ada kecenderungan untuk melakukan perkara tidak sepatutnya bagi mencapai petunjuk prestasi utama (KPI),” katanya.

Beliau berkata, usaha mencapai KPI mungkin penting tetapi ia harus berdasarkan landasan peraturan betul.

Terdahulu, Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Wan Saiful Wan Jan berkata, menteri kebiasaannya mengadakan mesyuarat pasca Kabinet dengan CEO, termasuk daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan firma, dan mereka mungkin “menerima arahan untuk melakukan itu dan ini”.

FMT News