PUTRAJAYA | Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan hari ini berkata kementeriannya bercadang untuk melaksanakan modul e-Wages dalam masa terdekat bagi memantau pembayaran gaji bulanan kepada pekerja secara “real time”.
“Saya ingin melahirkan rasa simpati dan dukacita susulan insiden seorang pekerja asing yang bunuh diri selepas mendakwa sudah lima (5) bulan tidak dibayar gaji oleh majikannya. Perkara seperti ini tidak seharusnya terjadi dalam pasaran buruh terutama ketika negara berdepan dengan krisis ekonomi dan kesihatan ekoran penularan wabak pandemik COVID-19.”
“Perlaksanan modul E-wages akan memastikan gaji pekerja akan dibayar mengikut tempoh yang ditetapkan iaitu sebelum hari ketujuh pada setiap bulan selaras dengan Akta Kerja 1955. Ketika ini, tiada sebarang mekanisme yang digunapakai dalam pasaran pekerjaan untuk memantau pembayaran gaji kepada pekerja di dalam negara,” kata Saravanan di dalam kenyataan media beliau.
Pelaksanaan e-Wages akan dapat memastikan ketelusan serta mengelakkan perbuatan manipulasi pihak majikan dalam urusan pembayaran gaji kepada pekerja mereka. Malah, imej dan krebiliti negara juga akan terpelihara khususnya dalam aspek penggajian pekerja asing di negara ini. Selain itu, pelaksanaan sistem ini secara tidak langsung akan memastikan hak dan kebajikan para pekerja terbela.
Saravanan turut mengumumkan bahawa KSM menerusi Jabatan Tenaga Kerja (JTK) akan menyiasat dengan teliti insiden kes bunuh diri pekerja asing berkenaan. Beliau berkata tindakan sewajarnya akan dikenakan terhadap majikan berkenaan sekiranya tuduhan tersebut didapati benar.