PUTRAJAYA | Akta Perhubungan Perusahaan 1967 (Akta 177) yang dipinda pada Disember tahun lepas akan mula dikuatkuasakan 1 Januari 2021 bagi membela nasib golongan pekerja serta meningkatkan imej negara di persada antarabangsa, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan.

Beliau berkata pindaan-pindaan utama Akta 177 adalah berkaitan representasi pemulihan kerja dengan pemansuhan kuasa Menteri untuk merujuk kes ke Mahkamah Perusahaan dan digantikan dengan Ketua Pengarah Perhubungan Perusahaan; pemansuhan kuasa budi bicara merujuk kes ke Mahkamah Perusahaan bagi membolehkan pekerja mendapat keadilan dan hak untuk didengar di Mahkamah Perusahaan tanpa sebarang proses tapisan.

Pindaan lain termasuk perwakilan semasa rundingan damai di Jabatan Perhubungan Perusahaan dibuka kepada mana-mana orang (kecuali peguam) dan pemakaian peruntukan representasi pemulihan kerja (Seksyen 20) boleh dipanjangkan kepada pekerja-pekerja badan berkanun melalui perintah Menteri Sumber Manusia, selepas konsultasi dengan badan berkanun berkenaan.

“Bermula 1 Januari 2021 juga, selain prosedur berkaitan kenaikan pangkat, kesatuan sekerja juga boleh merundingkan secara umum isu-isu berkaitan dengan pertukaran, pengambilan pekerja, penamatan perkhidmatan akibat lebihan tenaga kerja, pembuangan kerja dan pemulihan kerja serta agihan tugas. Hukuman penjara bagi kesalahan piket dan mogok yang tidak sah juga dimansuhkan selaras dengan standard perburuhan antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Antara yang terkecuali dalam pindaan itu adalah peruntukan-peruntukan berhubung hak berunding tunggal, penentuan kekuatan keahlian kesatuan sekerja, pemeriksaan isu kelayakan, halangan untuk kesatuan lain membuat tuntutan pengiktirafan apabila sesebuah kesatuan sekerja telah memperoleh pengiktirafan.

Selain itu, rujukan ke Mahkamah Perusahaan bagi kes yang melibatkan perjanjian kolektif dan pengecilan Senarai Perkhidmatan Perlu, yang akan dikuatkuasakan selepas pindaan kepada Akta Kesatuan Sekerja 1959 (Akta 262) diluluskan oleh Parlimen kelak.

Saravanan berkata menerusi pindaan ini, Mahkamah Perusahaan boleh meneruskan prosiding sekiranya pekerja meninggal dunia dan memerintahkan bayaran gaji ke belakang atau bayaran pampasan sebagai ganti kepada pemulihan kerja atau kedua-duanya yang diberikan kepada waris terdekat pekerja yang meninggal dunia.

Selain itu, Mahkamah Perusahaan juga boleh menurunkan award tanpa terikat kepada sekatan yang ditetapkan dalam Jadual Kedua sekiranya pembuangan kerja itu disebabkan oleh perlanggaran terhadap hak kebebasan berkesatuan, Mahkamah Perusahaan akan mengenakan faedah ke atas award pada kadar lapan peratus setahun, atau kadar yang lebih rendah.

“Dalam pada itu, pihak-pihak yang tidak berpuas hati dengan award Mahkamah Perusahaan boleh mengemukakan rayuan terus ke Mahkamah Tinggi dalam tempoh 14 hari selepas award diterima,” katanya.

KSM akan memuat naik penerangan mengenai peruntukan-peruntukan Pindaan Akta 177 yang akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2021 di laman sesawang KSM dan Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia dalam masa terdekat kerana hebahan umum tidak dapat diadakan secara bersemuka ekoran pandemik COVID-19.– BERNAMA