PMKS dibenar tangguh gaji minimum RM1,500 hingga Disember

PMKS dibenar tangguh gaji minimum RM1,500 hingga Disember

ALOR SETAR  |  Majikan yang terlibat dalam perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) diberi kelonggaran untuk menangguhkan pelaksanaan Perintah Gaji Minimum (PGM) 2022 sehingga 31 Disember ini.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim berkata, kerajaan membuat keputusan itu selepas mengambil kira tahap kewangan majikan yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

Beliau berkata, kerajaan menerima banyak permintaan daripada majikan PMKS untuk menangguhkan pelaksanaan perintah berkenaan dalam sektor terbabit.

“Kita bagi penundaan masa untuk mereka laksanakan sehingga 31 Disember 2022. Ruang untuk berbincang ada. Perintah itu bermula pada 1 Mei lalu, tapi kita pertimbang jadi kita beri penundaan sehingga 31 disember 2022.

“Sekarang baru bulan Mei, mereka ada tujuh bulan lagi,” katanya kepada pemberita pada Majlis Sambutan Aidilfitri Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di sini, hari ini.

Pada 27 April lepas, kerajaan mewartakan pelaksanaan gaji minimum RM1,500 berkuat kuasa 1 Mei.

Menurut perintah itu, bagi majikan yang menggajikan lima orang pekerja atau lebih serta majikan menjalankan sesuatu aktiviti profesional dikelaskan di bawah Piawaian Pengelasan Pekerjaan Malaysia (MASCO) 2020, kadar gaji minumum RM1,500 berkuat kuasa 1 Mei.

Bagi majikan yang menggajikan kurang lima orang pekerja, tarikh kuat kuasa gaji minimum RM1,500 adalag bermula 1 Januari 2023.

Dalam pada itu, Awang turut memaklumkan, penetapan gaji minimum bagi pekerja domestik atau amah Indonesia tertakluk kepada memorandum persefahaman (MoU) yang diputuskan antara kerajaan Malaysia dan negara itu.

© Awani

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *