KUALA LUMPUR | Majikan diberi amaran keras agar tidak menyalahgunakan Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing yang dilancarkan pada 17 Jan lepas untuk menggantikan pekerja tempatan.
Menteri Sumber Manusia V. Sivakumar (gambar) berkata pelan itu adalah bagi memenuhi keperluan tenaga kerja dalam sektor kritikal dengan segera dan majikan tidak sepatutnya menggunakannya sebagai alasan untuk membuang pekerja tempatan setelah mendapat pekerja asing.
“Majikan yang didapati bertindak sedemikian melanggar Seksyen 60M Akta Kerja 1955 dan boleh dikenakan penalti sehingga RM50,000 sekiranya didapati bersalah. Kelulusan kuota pekerja asing yang diberikan turut akan dibatalkan,“ katanya pada sidang media di bangunan Parlimen, hari ini.
Sivakumar memberi amaran itu susulan laporan yang diterima pihaknya mengenai insiden pembuangan 102 pekerja tempatan yang digantikan dengan pekerja asing di Pulau Pinang.
Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya turut menerima laporan daripada Perwakilan Diplomatik Bangladesh berhubung kejadian 117 pekerja dari negara itu yang mendapati mereka tidak ditawarkan pekerjaan setelah tiba di Malaysia dua minggu lepas, di bawah pelan tersebut.
Katanya, pelbagai alasan diberikan majikan termasuk kononnya mereka belum bersedia untuk menerima pekerja berkenaan walaupun mereka sendiri membuat permohonan sebelum ini.
“Jangan suka-suka sahaja memohon dan apabila mereka tiba, majikan tidak mahu menerima mereka. Ini juga boleh mencalarkan imej perundangan negara dan sebab itu saya beri amaran keras kepada majikan, sekiranya memohon pekerja asing, buat perkara yang betul.
“Tindakan segelintir majikan yang tidak bertanggungjawab telah menjejaskan imej serta kredibiliti negara dan ia akan menyukarkan rundingan dengan negara sumber tentang aspek keperluan guna tenaga pekerja asing termasuk pekerja domestik,“ katanya dan menambah kes itu boleh disiasat mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM 2007) dan Akta Kerja 1955.
Mengulas tentang status terkini pekerja warga Bangladesh itu, Sivakumar berkata mereka sudah ditempatkan di lokasi selamat dan Kementerian Sumber Manusia sedia membantu menempatkan mereka kepada majikan lain yang memerlukan.
Katanya kementerian juga pada masa sama akan melaksanakan penguatkuasaan terhadap majikan bagi memastikan tiada lagi pelanggaran terhadap pelan tersebut. – Bernama